Monday, February 28, 2011

Qiamullail KRU Tuaran kali ke-2, 2011

19-20 Feb 2011
Alhamdulillah syukur yang tidak terhingga dirapatkan kepada Allah SWT kerana dengan limpahan rahmat dan kasih sayangNya Qiamullail dapat dilaksanakan dengan jayanya. Seperti sedia maklum, masjid An-Nur yang sentiasa tersergam indah sebagai tapak utama program KRU Tuaran sejak 3 tahun lalu tidak pernah jemu menerima kehadiran dan kunjungan hamba Allah yang suka menimba ilmu walau di mana jua. Mereka itulah yang digelar Pemburu Cinta illahi.

Kehadiran muslimin pada Qiam kali ini yang agak memberangsangkan melegakan sedikit hati kami walaupun sudah pasti bilangan peserta muslimat sentiasa melebihi jumlah peserta muslimin. Dengan bertemakan Maulidurrasul & Ikhtilat, kuliah dasar Qiam kali ini yang disampaikan oleh Ust. Rushdi bin Abd.Majid dari Maktab Kent membawa kami menyelusuri kehidupan dan perjuangan rasulullah SAW dan sahabat baginda.
Teringat di hujung ceramah ust.Rushdi, beliau sempat memberi peringatan kepada adik-adik.
" Agama Islam adalah satu-satunya agama yang boleh mengangkat martabat manusia dan seluruh kehidupannya". Sebagai cth, negeri Melaka yang melaksanakan hukum hudud pada suatu masa dahulu menjadi suatu tempat yang sangat terkenal di seluruh dunia sehinggakan digelar 'Lingua Franka'. Tetapi setelah hukum hudud dihapuskan oleh penjajah Barat, kini Melaka tidak lagi dikenali ramai.

Wednesday, February 23, 2011

Alangkah....



















Sewaktu menuruni bukit pulang dari tapak program menuju ke Pekan Kundasang tempoh hari kami menyinggah seketika di suatu tempat yang menarik. Tempat tersebut seperti yang dipaparkan di atas. Cantik.

Sewaktu membeli sayur-sayuran sebagai ole-ole untuk dibawa balik.
"Beli cendawan....". Sapa mesra seorang peniaga.
"Dah beli, tapi cendawan yang kami beli lebih kecil". Pantas salah seorang dari kami menyahut.
"O...itu cendawan milik tauke Ah Ling, yang ini milik tauke Ah Chong". Balas peniaga sambil memerhati cendawan yang kami dah beli.
"Wah! Sampai boleh kenal pemilik-pemilik cendawan ni...". Seloroh seorang lagi ahli rombongan.
"Sebab ada tiga saja pembekal cendawan di sini. Ah Ling, Ah Chong dan Ah Moi (Tiga-tiga bukan nama sebenar, tidak ingat).
"Ooooo!!!!!!!!!!". Serentak. Pecah ketawa 'control'. Fikiran melayang.

Sewaktu menjamu selera sepanjang program menu utama, ayam. Walaupun cuma tiga hari, sudah cukup untuk menggamit rindu pada ikan di kolam/sungai/lautan.

Alangkah baiknya jika 'Tauke Ikan Bertakwa' menjadi satu realiti.

Alangkah baiknya jika 'Tauke Ikan Bertakwa' pun menjadi 'Tauke Cendawan Bertakwa'.

Alangkah baiknya jika 'Tauke Ikan Bertakwa' juga menjadi 'Tauke Bunga Bertakwa'.

Sunday, February 20, 2011

KISAH SEBAKUL AIR

Selalu terjadi, kita merasakan usaha kita sia-sia. Penat kita berusaha tetapi langsung tiada hasil. Malas hendak buat perkara yang sama lagi kerana seakan tidak berbaloi. Begitu juga halnya dengan rutin membaca kita, iaitu membaca al-Quran.

Apa yang lebih mahal, usaha (effort) atau hasil (result)?

Amad dan Atuk

Seorang petani tua tinggal bersama cucunya di sebuah kawasan pedalaman. Rutin sesudah subuh sebelum bertani, Si Atuk akan membaca al-Quran di pangkin. Amad, cucu Si Atuk sentiasa memerhatikan gelagat atuknya, dan berusaha untuk merutinkan bacaannya seperti atuk.

Suatu hari Amad bertanya, "Atuk, Amad cuba untuk baca al-Quran setiap hari macam Atuk, tapi Amad selalu tidak faham. Bila faham sekali pun, Amad tetap akan lupa bila Amad tutup al-Quran. Apa ya kebaikan baca al-Quran, Atuk?"

Si Atuk menutup al-Quran dan tersenyum, faham benar dengan pertanyaan cucu tunggalnya itu. Tidak menjawab soalan Amad, sebaliknya Atuk menyuruh Amad berbuat sesuatu, "Amad ambil bakul arang di dapur. Pergi ke sungai dan bawa balik sebakul air untuk Atuk."

Amad hanya menurut, pergi ke sungai, mengisi air ke dalam bakul, dan berjalan balik ke rumah. Sebelum sampai ke rumah, air terkeluar melalui lubang-lubang bakul yang dibuat daripada rotan. Amad berpatah balik ke sungai sekali lagi.

Dari jauh Si Atuk memerhatikan gelagat Amad sambil tertawa, lalu berteriak, "Amad perlu bergerak lebih laju, supaya sempat sampai di rumah!"

Kali ini Amad berlari lebih laju, tetapi hasilnya tetap sama, bakul tetap kosong sebelum sampai ke rumah. Tercungap-cungap keletihan, Amad fikir terlalu mustahil untuk membawa air menggunakan bakul, lalu dia mencapai baldi.

"Atuk tidak mahu air dari baldi, Atuk hanya mahu air dari bakul. Amad belum berusaha dengan bersungguh, Atuk tahu."

Lalu Amad mencapai bakul tadi dan segera ke sungai, dia ingin membuktikan kepada Atuknya yang dia telah berusaha bersungguh-sungguh. Malah semakin cepat Amad berlari, semakin cepat air keluar daripada bakul tersebut.

"Tengok Atuk, tidak berguna bukan? Bakul ini tetap kosong," kata Amad kepada Atuknya, menelan rasa kecewa.

Betulkah tidak berguna?

"Tidak berguna kata Amad? Cuba Amad lihat bakul itu."

Amad melihat bakul di tangannya, dan Amad baru perasan satu perkara, iaitu bakul itu tidak lagi comot dengan kesan arang dan tanah, malah jauh lebih bersih, luar dan dalam.

"Amad, itulah yang berlaku bila kita selalu membaca al-Quran. Kita mungkin tidak faham, atau tidak ingat apa-apa, tetapi yakinlah bila kita membacanya, kita akan berubah, luar dan dalam".

Amad tersenyum lebar dan penuh bahagia, persoalannya kini terjawab.

Usaha atau Hasil?

Seringkali kita terfokus pada hasil, sehingga kita terlupa usaha itu yang lebih utama. Tanpa usaha tiada hasil. Mulai sekarang ubahlah apa yang kita lihat. Lihat dan hargailah usaha, walau hasilnya tidak seberapa.

Jika kita berupaya sekuat tenaga menemukan sesuatu, dan pada titik akhir upaya itu hasilnya masih kosong, maka sebenarnya kita telah menemukan apa yang kita cari dalam diri kita sendiri, yakni kenyataan, kenyataan yang harus dihadapi, sepahit apa pun keadaannya.

- Artikel iluvislam.com