Monday, January 31, 2011

ANUGERAH UNTUK SEMUA


"Majlis dengan segala hormatnya, mempersilakan penerima anugerah Kelab Remaja Contoh, yang disandang oleh KRU Tuaran." Demikian pengerusi majlis memaklumkan.

Sahabat-sahabat KRUT terimalah anugerah ini untuk kita semua. Jangan lupa panjatkan kesyukuran pada Ilahi yang daripada-Nya datang segala kekuatan dan kurniaan nikmat yang tidak terhingga, Laa haulaa wa laa quwwata illa billah. Terima kasih kepada pihak yang memberi anugerah.

Dedikasi anugerah ini buat semua pihak yang sentiasa membimbing, membantu dan menyokong KRUT:

Abang-abang dan kakak-kakak PSS
Para penceramah
Para fasilitator
Penduduk-penduduk kampung yang terlibat
Penyumbang-penyumbang dana
Semua ahli KRU
dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung

"Allahu yubarik fik"

Perlu kita ingat sahabat-sahabat KRUT, perjalanan kita masih panjang. Masih banyak yang perlu kita perbaiki. Teruskan usaha memburu ilmu dan kemahiran, pembelajaran sepanjang hayat.

Thursday, January 27, 2011

Lajnah Sukan dan Kebudayaan, KRUT

Persembahan nasyid sempena AGM KRUT 2011/2012. Tahniah kepada ahli-ahli KRUT yang terlibat. Teruskan usaha Lajnah Sukan & Kebudayaan, KRUT. Semarakkan dakwah!


video

DIDIKAN INI DEMI CINTA...

Kalau ditanyakan kepada orang tua, bilakah masanya dalam takah kehidupan ini mereka rasakan terlalu banyak melakukan kesalahan dan kesilapan? Nescaya mereka menjawab, “semasa kami masih muda.” Ya, bila seorang tua menoleh ke belakang, terasa begitu banyak perkara yang sepatutnya dibuat semasa muda, tidak dibuat. Sebaliknya banyak pula perkara yang tidak sepatut dibuat, telah dibuat.

Sayangnya, kebanyakan orang muda tidak menyedari hakikat ini sehinggalah mereka sendiri meningkat tua. Lalu atas kealpaan itu mereka akan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan oleh bapa, datuk dan moyang mereka pada zaman mudanya. Pendek kata, ramai manusia lambat belajar di ‘universiti kehidupan’ ini. ‘Kurikulum’ pelajaran yang sepatutnya telah difahami di peringkat muda baru difahaminya hanya apabila kita meningkat tua.

Alam adalah sebuah ‘universiti’ yang luas dan besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan manusia terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat. Mungkin ini juga termasuk dalam maksud “tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”

Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluh kehidupan untuk hidup yang lebih tenang dan bahagia. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu.

Kurikulum pelajaran ini pula tersusun mengikut tahap usia dan tempoh kedewasaan seseorang. Justeru, di peringkat muda ada ‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah ‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya?

Itulah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap kita. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya ‘selesai’ pada usia muda terpaksa dibawa ke peringkat tua. Kalau begitu keadaannya maka rugilah. Samalah seperti pelajar universiti yang terpaksa ‘refer’ atau ‘repeat’ akibat gagal dalam peperiksaan semester atau tahunan mereka.

Para remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa. Tahap transisi ini tidak stabil. Umpama air (cecair) yang hendak bertukar menjadi wap (gas), maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.

Keadaan itu samalah dengan remaja, pada tahap itu jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen dalaman mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, ingin mencuba, perubahan biologi dan macam-macam lagi.

Dan di tahap ini juga para remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dalam hidup mereka dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan.

Sesungguhnya semua itu tidak berlaku sia-sia melainkan ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Para remaja (malah orang tua sekalipun) mesti dapat membaca ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas kita. Jika tidak, kita terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali.

Sebab itulah dalam pengalaman kita, sering kita temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama. Abu misalnya, akan sentiasa ‘pokai’ setiap pertengahan bulan dan sentiasa merungut duitnya tidak cukup. Minah, sudah lima kali ditinggalkan kekasih dan mengeluh tidak ada lelaki yang benar-benar memahami perasaannya. Joe pula, telah tujuh kali jatuh motor dan marah-marah tentang nasib malang yang sedang menimpanya.

Anehnya mengapa Mat tidak mengalami masalah ‘pokai’ seperti yang selalui dialami Abu. Bedah tidak seperti Minah, dia telah pun bertunang dengan lelaki yang pertama dikenalinya? Manakala Samad, cuma sekali sahaja jatuh motor dalam hidupnya dan sekarang sedang selesa memandu Perodua yang baru dibelinya… Apakah yang menyebabkan keadaan atau nasib mereka berbeza?

Bezanya ialah ada diantara para kita yang cepat belajar dengan hidup sebaliknya ada di antara mereka yang tidak pernah atau lambat belajar. Yang belajar, akan ‘naik kelas’ dan layak untuk mengambil mata pelajaran baru yang lebih tingkat dan martabatnya. Yang tidak belajar, terpaksa mengambil mata pelajaran yang sama berkali-kali.

Abu, contoh kita tadi, tidak pernah belajar bagaimana mengurangkan perbelanjaan berbanding pendapatan… dan dia akan mengalami masalah yang sama walaupun kiranya nanti ia menjawat jawatan yang tinggi dan bergaji besar. Manakala Minah, tidak cuba mengenali kelemahan dirinya sendiri sebagai seorang wanita justeru dia sering menemui lelaki yang tidak sepatutnya dia temui.

Jadi langkah pertama supaya kita ‘lulus’ dalam pelajaran hidup ialah kita perlu akur bahawa setiap yang berlaku di dalam kehidupan ada unsur pengajaran dan didikan buat kita. Setiap peristiwa, pahit atau manis, setiap individu, baik atau buruk – hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Dan setiap guru itu mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala kelihatan pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.

Untuk itu, apabila ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri sendiri, “apakah pelajaran yang di sebalik semua ini?” Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah.

Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Allah. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehnah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sesiapaun. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.

Jika seorang datang membuat kita marah, maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita selalu ‘kesempitan’ wang maka itu tandanya kita harus bersedia belajar erti berjimat cermat. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap.

Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik. Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Allah, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik kerana tujuanNya mendidik pun pasti baik.

Apakah sebenarnya yang menjadi ‘tujuan’ di sebalik ‘pelajaran-pelajaran’ yang datang dan pergi dalam hidup kita? Tujuan utama pelajaran dalam hidup ini adalah untuk mengubah kita ke arah yang lebih. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru hidup ini sendiri adalah satu proses perubahan yang berterusan.

Sudah menjadi sunatullah (peraturan Allah) yang tidak berubah dalam hidup ini adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan manusia. Kita akan kalah jika kita tidak berubah. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jika tidak, kita juga terpaksa berbuah, mengikut kawalan orang lain atau keadaan sekeliling.

Manusia umpama nakhoda yang belayar di lautan. Sebagai nakhoda kita punya arah dan destinasi tersendiri. Tetapi tiupan angin, pukulan gelombang dan cuaca tidak selalunya menyebelahi kita. Kekadang arah pelayaran kita ke utara tetapi angin bertiup ke selatan. Kita akan tersasar dari destinasi jika menurut sahaja tiupan angin.

Sebaliknya kita akan patah, jika terus berkeras menentang tiupannya. Jadi, apakah kita menjadi ‘Pak Turut’ yang terpesong tanpa prinsip dan haluan? Atau bersikap keras, rigid dan akhirnya patah kerana kedegilan melawan gelombang?

Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, “we can’t direct the wind but we can adjust our sail.” Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita. Inilah kelebihan manusia, sebagai khalifah.

Kita diamanahkan untuk mentadbir pendengaran, sentuhan, penglihatan, penciuman, penglihatan, fikiran, emosi, hati dan tindakan kita dalam lingkungan takdir-Nya. Oleh itu, dengan segala kuasa dan kelebihan yang ada, kita perlu berubah mengikut arah dan bentuk yang kita pilih dengan izin Allah jua.

Malangnya, ramai manusia yang tidak suka berubah. Ada kita bersikap ‘selamba’ dan ‘relaks’ dengan apa sahaja yang berlaku termasuk perubahan yang berlaku pada diri dan sekeliling mereka. Mengapa? Sebab perubahan ertinya hijrah atau berpindah. Setiap hijrah dan berpindah itu menagih kesusahan. Maksudnya, orang yang berhijrah terpaksa meninggalkan zon keselesaan (comfort zone) untuk menuju zon cabaran (courage zone).

Misalnya, anak kecil yang hendak berpindah dari tahap merangkak ke tahap berjalan, tentu terpaksa bertatih-tatih, jatuh bangun, jatuh dan terpaksa mengalami calar-calar dan sebagainya. Namun segala-galanya terpaksa dihadapi demi membolehkan dia berjalan. Apa akan jadi kalau ada anak kecil yang terus selesa merangkak dan tidak mahu belajar berjalan kerana takut cabaran? Tentulah tidak ada perkembangan dalam hidup. Maka begitulah para kita, dengan ujian mereka dituntut supaya berubah, jika tidak mereka tidak akan mencapai tahap kematangan untuk berjaya dalam hidup!

Rengkasnya, pelajaran dalam hidup datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna kita gagal dalam peperikasaan di universiti kehidupan kita. Apa yang menghalang kita berubah?

Salah satunya ialah keinginan untuk melihat orang lain, keadaan atau peristiwa di luar diri kita terlebih dahulu berubah. “Aku boleh jadi baik, jika guru dan ibu-bapaku melayanku dengan baik,” begitu selalu yang kita dengar. “Kedudukan kewanganku boleh stabil, jika pendapatanku bertambah,” kata sesetengah yang lain. “Jikalau aku mengenali seorang lelaki yang beriman, aku akan menjadi isteri yang solehah.” “Kalau motorku dari jenis yang mahal, tentu aku tidak terlibat dengan accident lagi!”

Begitulah suara-suara kelohan dan harapan yang selalu diluahkan oleh hati kita. Semuanya, mengharapkan keadaan, individu lain dan peristiwa berubah – barulah kita mahu dan mampu berubah. Sedangkan hukum perubahan tidaklah begitu. Kita mesti berubah dulu, barulah keadaan, peristiwa dan individu lain berubah akibat perubahan kita.

Guru dan ibu-bapa akan melayan kita dengan baik, jika kita terlebih dahulu berusaha menjadi anak atau murid yang baik. Anda berjimat cermat dahulu, barulah kedudukan kewangan anda akan stabil. Anda jadi wanita solehah dahulu, barulah akan ada lelaki beriman yang akan melamar anda. Dan anda perlu baiki dan memandu motor ‘buruk’ anda dengan baik barulah anda tidak terlibat dengan ‘accident’ dan akhirnya layak untuk mendapat motor baru yang mahal harganya!

Ingat, setiap kali sesuatu menimpa kita, sama ada baik atau buruk… itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan kita hadapi… maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan… Nanti kita akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.

Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan. Belajarlah di universiti kehidupan semasa masih ada masa lagi, supaya kita tidak diburu penyesalan apabila tempoh pengajian tamat (mati).

Kata pepatah, “belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air.” Teringat kata Dale Carnargie, “jangan gergaji abuk kayu!” Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!

Buat diri ku dan diri mu, kuaklah tirai hari ini dan ingatkan diri… aku adalah pelajar di universiti kehidupan ini. Hari ini Allah pasti mengajar ku melalui perlakuan-perlakuan manusia lain kepada ku. Dan aku mesti belajar dengan orang lain, kejadian, peristiwa itu – pahit atau manis.

Jika manis, Allah mengajarku erti syukur. Jika pahit, Allah mengajar ku erti sabar. Jika dikecewakan, aku sedang belajar hakikat tawakal. Bila cemas, Allah mengajar ku erti raja’ (mengharap). Jika sedikit, Allah mengajar ku erti qanaah (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati kami dari asbab-asbab ini, agar kami bebas dan tenang berpaut pada ‘musabbabil asbab’ (Penyebab segala sebab) – wajah MU ya Allah.

Pujuklah hati, katakan, didikan ini demi cinta-Nya jua.


Sumber : http://genta-rasa.com

Sunday, January 23, 2011

Simpang Mengayau

Al-kisah sebelum qiam Januari KRUT, beberapa orang ahli KRUT berkesempatan menghadiri Majlis Meraihkan Pengantin, Abang Ruslan dan Nadhrah di Kudat.



Disamping itu, kami tidak melepaskan peluang menyinggah seketika di Teluk Simpang Mengayau. Ahli-ahli KRUT yang tidak dapat menyertai delegasi kami tempoh hari boleh lihat gambar-gambar keindahan alam ciptaan Allah di bumi Simpang Mengayau yang dipaparkan di bawah. Cantik dan mendamaikan. Subhanallah, Maha Suci Allah. Terngiang-ngiang irama nasyid Kumpulan Brothers.















Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan". (Al-Kahfi:109)

Tuesday, January 18, 2011

Qiamullail Pertama KRUT 2011 & AGM

15-16 Jan 2011


Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi dengan limpahan rahmatNya qiamullail pertama KRUT 2011 dapat dilaksanakan dengan jayanya. Program qiamullail bulanan 2011 tampil dengan sedikit pembaharuan. Jika sebelum ini ruang masa antara Maghrib Isyak diisi dengan Kuliah Maghrib, tahun ini diganti dengan slot Tadabbur '114 Surat Cinta'.

Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al-Qur’an) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata, “Ya Rabb kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al-Qur’an dan kenabian Muhammad).” (QS. Al-Ma’idah: 83).

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (karenanya) dan kepada Rabb-lah mereka bertawakkal.” (QS. Al-Anfaal: 2).

“Dan apabila diturunkan suatu surat, maka diantara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, “Siapakah diantara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surat ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surat ini menambah imannya, sedang mereka merasa gembira.” (QS. At-Taubah: 124).

“Katakanlah, “Berimanlah kamu kepadanya atau tidak usah beriman (sama saja bagi Allah). Sesungguhnya orang yang diberi pengetahuan sebenarnya apabila Al-Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud, dan mereka berkata, “Mahasuci Rabb kami, sesungguhnya janji Rabb kami pasti dipenuhi.” Dan mereka menyungkur aras muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu’.” (QS. Al-Israa’:107-109)

“Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis.” (QS. Maryam: 58).

”Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Rabb mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.” (QS. Al-Furqan: 73).

“Dan apabila dibacakan (Al-Qur’an) kepada mereka, mereka berkata, “Kami beriman kepadanya, sesunguhnya Al-Qur’an itu adalah suatu kebenaran dari Rabb kami, sesungguhnya kami sebelumnya adalah orang-orang yang membenarkan (nya).” (QS. Al-Qashash: 53).

'Hijrah dan Akademik', demikianlah topik ceramah qiam kali ini yang disampaikan oleh Ustaz Hafiz. Aura peristiwa hijrah wajar menjadi pemangkin kepada ahli-ahli KRU untuk menggapai kecemerlangan, baik dalam bidang akademik maupun gerak kerja kelab/persatuan.

Diskusi Ilmu ahli PSS Tuaran

Pagi 16 Januari, berlangsung pula Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KRU Tuaran sesi 2011/2012. Barisan pimpinan baru sudah tersusun rapi, takwim telah dirancang. Apa lagi sahabat-sahabat KRU teruskan langkah, jangan tersungkur ditengah jalan. Jangan mengalah pada badai ujian. Bangkitlah, bangkitlah, bangkitlah. Setiap penyakit pasti ada ubat kecuali kematian. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian. Ujian hidup adalah sunnatullah.

"Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan berkata : ‘kami beriman’, padahal mereka belum di uji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah betul-betul mengetahui orang yang benar, dan sesungguhnya Ia betul-betul mengetahui orang-orang yang berdusta “ (QS. Al- Ankabut :2,3)

Majlis AGM KRUT sesi 2011/2012 turut diserikan dengan perasmian pelancaran pasukan kompang, pasukan nasyid dan pasukan futsal KRUT. Perasmian AGM KRUT dan ketiga-tiga pasukan tersebut disempurnakan oleh Saudara Mohd. Al-Amin, selaku wakil PSS Pusat.

Ucapan Pengerusi KRU Tuaran

Ucapan Pengerusi PSS Tuaran

Ucapan Perasmian


Pukulan kompang KRUT mengiringi ucapan wakil PSS Pusat

Persembahan nasyid daripada Pasukan Nasyid KRUT

Syukran jazilan

Antara saff pimpinan muslimin KRUT sesi 2011/2012

Antara saff pimpinan muslimat KRUT sesi 2011/2012




Thursday, January 13, 2011

DAKWAH PERLU BERHIKMAH

Da'ie muda sekarang agak menyakitkan hati, sebagai da'ie haruslah bijak menangani masalah dan perkara buruk yang berlaku pada keadaan di sekeliling.

Kadang-kadang mulut cabul benar nasihat orang, bagaimanalah orang hendak lembut hati terima teguran.

Para da'ie muda perlu beringat! Setiap orang ingin rasa dihargai dan dihormati sebagai rakan dan orang yang punya hati dan perasaan. Jadi kita sebagai da'ie perlu fahami mereka.

Setengah kita sakit hati melihat orang yang suka berperangai 'gedik', 'bajet' dan 'menunjuk-nunjuk', selepas itu mulalah rasa hendak marah dan kutuk belakang-belakang, yang baik sikit ada pula yang tawarkan diri untuk menegur, tapi bila sudah ditegur macam buat tak tahu sahaja. Apalagi menyiraplah seluruh badan marah kepada dia!

Aduh, aduh, aduh, perlu KESABARAN! Mana ada orang boleh berubah sekelip mata, perubahan perlu 'step by step'.

Teguran pertama, mereka akan berfikir "Aku buat salah ke?". Jadi pada teguran pertama seseorang itu belum lagi mengalami proses penerimaan teguran. Mereka sedang mencari mana yang silap pada diri mereka.

Selalunya ego akan menguasai diri (tidak kira lelaki atau perempuan) dan mereka akan mencari jalan membela diri yang diri mereka tak salah.

Kita sebagai da'ie harus terima pendapat mereka dan cuba menerima sifat atau tabiat diri mereka yang sukar diubah, namun dalam senyap kita terangkan tabiatnya yang perlu diperbaiki!

Sebagai contoh :

01. Kalau orang suka bergurau secara melampau (sakitkan hati orang) dengan berpendapat untuk mengeratkan hubungan silaturrahim. Apakah harus dibuat?

Katakan bahawa betul bergurau itu mengeratkan silaturrahim, tetapi setiap perkara ada baik dan buruknya kerana Allah menjadikan sesuatu benda memang ada sudut yang baik dan sudut yang buruk.

Dan antara semua perkara yang paling baik, adalah yang di tengah-tengah. Selepas itu, bagilah keterangan apa yang buruknya tentang bergurau secara melampau.

Tapi janganlah harap dengan sekali sahaja anda tegur mereka akan berubah, anda harus bersabar dan sentiasa mengingatinya.

Dalam proses menegur sekali lagi (mengingatkan mereka ketika buat salah), haruslah pandai mengambil hati mereka dengan memuji perbuatan baik yang mereka lakukan, dengan itu mereka akan rasa dihargai.

Boleh juga puji akan perubahan yang kita nampak pada diri mereka walaupun sedikit. Ketika itu juga kaitkan dengan prinsip akhlak agar mereka berminat dan tertarik dengan ciri seorang muslim sebenar sedikit demi sedikit.

Contoh lain :

02. Ketika kita melihat mereka sudah reda sedikit daripada bergurau secara melampau dengan kutuk-kutuk orang, Apa perlu kita buat?

Pujilah mereka, "Alhamdulillah, kan elok macam itu, tidaklah orang sakit hati, bahkan geli hati lagi dengan gurauan kamu, tidak macam dahulu, ada sahaja orang kutuk-kutuk kamu di belakang sebab tidak puas hati dengan kamu, kalau kamu buat lawak tidak jadi pun tidak mengapa, yang penting kita jaga 'hablumminallah' beserta 'hablumminannas'. Tidaklah tambah musuh, Allah pun suka!"

Lebih kurang begitulah, ikutlah ayat yang biasa kita guna sehari-hari, yang atas ini cuma contoh sahaja.

Apabila kita sudah rapat dan sentiasa ambil berat tentangnya, pada masa yang sama mereka akan sedar bahawa apa yang kita nasihat dan tegur adalah untuk kebaikan dirinya. Mereka akan fikir kembali untuk menjadi yang lebih baik dan cuba buang tabiat buruk mereka.

Yang penting, kita sebagai da'ie kena bagi sokongan, bukan tomahan kalau dakwah kita tidak berkesan. Kerana sebenarnya kesannya pada hati mereka bukan kelakuan, nafsu dan akal sedang berperang.

Mereka ini ada effort tetapi belum cukup kekuatan. Kita sebagai da'ie yang penyayang dan prihatin haruslah mendoakannya sentiasa dan memahaminya.

Tulisan ini hanya menunjukkan cara dakwah yang umum atau asas kerana setiap lorong dakwah mempunyai orang dan situasi yang berbeza. Jadi cara dakwah tidak boleh serupa sahaja.

Adakala perlu tegas, adakala perlu lembut. Tapi pastikan tegur bukan kerana marah dengan mereka. Marah dengan sikap mereka itu betul, tetapi sertakan kasih dan sayang pada diri mereka, agar mereka faham betul-betul niat kita.

Pandangan orang sekarang pada para da'ie 'poyo', 'bajet alim', 'perasan diri dia je betul', sakit hati kerana macam diri orang itu sahaja yang salah.

Maka para da'ie bersikap adillah dan jadilah qudwah hasanah.

- Artikel iluvislam.com

Tuesday, January 11, 2011

OUTSTATION

Hujung minggu pertama 2011, 8-9 Jan, 12 orang barisan pimpinan KRU Tuaran outstation ke UMS, Kota Kinabalu. Pergi untuk 'mencari tarbiyyah' buat bekal beraksi di gelanggang sendiri. Terima kasih abang-abang dan kakak-kakak PSS, terima kasih sahabat-sahabiah KRU KK. Tidak sia-sia menghadiri Qiam Perdana 2011.










(Gambar-gambar culik dari fb Abang Hasmadi ni)

Hujung minggu kedua 2011 ni pula kami mula bergelanggang di tempat sendiri.

Jemput hadir ke
Program Qiamullail Bulanan dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KRUT
pada 15-16 Jan 2011
bertempat di Masjid An-Nur, Tuaran.


Pasukan kompang dan nasyid KRUT sila bersedia.


Sunday, January 2, 2011

31.12.10 & 1.1.11

Alhamdulillah. Rehlah Khas Pimpinan KRU Muslimin pada 31.12.10 mengakhiri program KRU Tuaran tahun 2010. Air Terjun Kionsom, Inanam menjadi destinasi untuk bersantai dan bermuhasabah membina momentum baru mendepani 2011.

Sementara, Rehlah Khas Pimpinan KRU Muslimat pada 1.1.11 pula menjadi titik permulaan menyahut cabaran 2011. Menariknya, memandangkan kakak-kakak manjadi peserta, maka adik-adik KRU cilik menjadi AJK program. Di mana lokasi rehlah KRU muslimat?

AJK bertungkus-lumus menyediakan peralatan sukaneka.


Cukup sudahkah semua alat?


Ahlan wasahlan...

Taklimat: Mahu cakap apa tu kak? Lupa skrip yang dihafal semalam.


Para peserta diminta mencari peralatan dan menyiapkan pancing masing-masing.




Ndak dapat pancing ikan, pancing botol pun jadilah...


Air ndak masuk dalam botol ni....


Dapat dah pemenang isi air dalam botol.


Demo : Begini caranya...


Bukan begitu, begini...kalau mahu menanglah.


Beginikan dik?


Macam mana mahu eja nama pemenang lari sambil membawa limau kasturi dalam sudu ni?


Ikatan kaki kakak bertiga ni tak betullah...


Ni lah acara yang ditunggu-tunggu, pertandingan 'ngomot'


Lain macam ja cara kakak-kakak ni pegang 'lenggaman' dan 'ngomot'.


Hasil tuaian siapa paling banyak?


Tazkirah : Berahsia biar kena pada masa dan tempatnya.


AJK yang masakkah ni?


Ziarah : Tahniah! 9A PMR


Suasana sayu melihat adik Adibah yang terlibat dengan kemalangan ketika berusia 7 tahun, sekarang berumur 13 tahun.


Slot hati ke hati: Luahkan saja kak.