Wednesday, May 25, 2011

PROGRAM-PROGRAM CUTI JUN


Cuti persekolahan kini tiba lagi. Manfaatkan cuti ini dengan sebaik-baiknya. Ahli-ahli PSS & KRU Tuaran akan bertebaran menjadi AJK / fasilitator / peserta program-program berikut:


1. KEM REMAJA ISLAM KOTA BELUD

Tarikh   : 27-29 Mei 2011 (Jumaat-Ahad)
Tempat : Darul Bakti KB



2. KEM SMART TAHFIZ

Tarikh   : 30 Mei - 02 Jun 2011 (Isnin-Khamis)
Tempat : Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz, Bandar Sierra



 3. KEM ANA ANAK SOLEH

Tarikh   : 01-03 Jun 2011 (Rabu-Jumaat)
Tempat : SK Pekan Tamparuli

 Surau An-Nur, SK Pekan Tamparuli


4. KEM REMAJA ISLAM KOTA KINABALU

Tarikh   : 03-05 Jun 2011 (Jumaat-Ahad)
Tempat : Masjid Nurul Hikmah,Bukit Padang



5. QIAMULLAIL BULANAN PSS & KRU TUARAN

Tarikh   : 05-06 Jun 2011 (Ahad-Isnin)
Tempat : Masjid An-Nur, Tuaran

video
Doa Munajat Qiamullail

Tuesday, May 24, 2011

Qiamullail Mei 2011 KRU Tuaran: Kasihi Ibu, Ayah dan Guru

21-22 Mei 2011


Alhamdulillah KRUT masih terus diberi kesempatan untuk melaksanakan agenda bulanan, qiamullail Mei untuk kali ini bertemakan akhlak terhadap ibu, ayah dan guru. Adakah kita benar-benar mengasihi ibu, ayah dan guru? Apakah buktinya? Hakikat tulusnya kasih kita kepada ibu, ayah dan guru bila bersandarkan cinta kepada Allah.

video


video


Semasa qiam bulan ini juga adik-adik KRU cilik berpeluang menunjukkan bakat mencipta kad Hari Ibu atau Hari Guru secara berkumpulan. Hasilnya comel-comel dan cantik-cantik. (^_^)

Tidak lupa juga titipan nasihat berharga daripada Kak Insyirah yang sudi datang menjengok qiam KRUT kali ini sebelum berlepas ke Syria 23 Mei 2011 untuk menyambung pengajian. Kami menunggu kepulangan Kak Insyirah dengan segunung harapan. Doa kami buat Kak Insyirah, doakan kami kak.


Thursday, May 19, 2011

Qiamullail Bulanan KRU Tuaran Tiba Lagi


Sahabat-sahabat yang dikasihi,InsyaAllah Qiamullail Bulan Mei Kelab Remaja Ukhuwwah Cawangan Tuaran akan menyusul seperti yang tertera di bawah :

Tarikh : 21-22 Mei 2011 (Sabtu hingga Ahad)
Tempat : Masjid An-Nur,Tuaran
Masa : 5.00 Petang (Sabtu)-8.30 pagi (Ahad)
Yuran : RM1 seorang
Keterangan lanjut,hubungi : Saudari Siti Sarah-0198950456

Setelah menghitung hari..... 



Wednesday, May 18, 2011

Sehari Bersama Alham Centre

14 Mei 2011

Pihak Penganjur & Peserta Pro-Fast Siri 1

Mengasah bakat menjadi fasilitator profesional mendorong 11orang ahli KRU Tuaran menghadiri Pro-Fast Siri 1 yang julung kali dianjurkan oleh Alham Centre. Pengalaman pertama bagi peserta muslimin, program pengukuhan atau pemantapan bagi sebahgian peserta muslimat KRUT. Hanya jauhari mengenal manikam.

Menanti dan terus menanti Pro-Fast Siri 2. (^_^)


Monday, May 16, 2011

Kem Motivasi Tingkatan 6

Alhamdulillah,syukur yang tidak terhingga dipanjatkan kehadrat Allah kerana dengan izinNya jua PSS dapat melaksanakan Kem Motivasi Tingkatan 6 di SMK Usukan,Kota Belud pada minggu yang lalu.Program yang bermula pada 6 dan berakhir pada 8 Mei ini menyajikan pengisian yang hampir sama pada Kem Motivasi di SMK Tenghilan lewat  April lalu.
Penguat rohani seperti Qiamullail,Kuliah Maghrib dan Solat berjamaah menjadi kewajiban peserta sepanjang kem.Tidak ketinggalan Kuliah Dasar,Latihan Dalam Kumpulan,Pembentangan Kumpulan,Slot Bersama Pelajar Cemerlang dan Slot Penghayatan  turut diketengahkan selama 3 hari 2 malam berkampung di bumi SMK Usukan ini.
Menariknya,kesemua peserta merupakan pelajar Tingkatan 6 yang bakal menduduki STPM tahun ini.Justeru,ia lebih memudahkan para Fasilitator mendekati setiap peserta.Dengan jumlah tenaga kerja seramai 11 orang,PSS cuba membuat sedikit kelainan pada kem kali ini.Slot Penghayatan berjaya membuka minda para guru untuk menyelami jiwa dan latar hidup peserta.
Tertarik dengan ungkapan “USUKAN Pun Boleh Bah!” PSS menguji ketahanan  fizikal peserta dengan  aktiviti Amazing Race.Sebanyak 5 checkpoint  disediakan dengan modul yang jarang-jarang dibuat.Berbekalkan 4 ungkapan keramat di atas,Alhamdulillah kesemua kumpulan berjaya melepasi kelima-lima checkpoint.Seusai solat Maghrib, Slot Pengenalan KRU dibentangkan sehingga azan Isyak.Meskipun dalam kepenatan,peserta masih mampu mendengar hatta ada yang tertanya-tanya “Macam mana mau jadi ahli KRU?,””Kalau jadi ahli mesti bertudung labu ka?” Persoalan yang diajukan cuba dijawab dengan sebaiknya.

......................................................................

Moga-moga diri diberi kekuatan untuk berubah.Yang penting niat dan kemahuan yang tinggi ada.InsyaAllah segalanya akan dipermudahkan Allah~begitu yang diungkapan oleh seorang Murabbi yang dikagumi.

Syukran kepada semua yang menjayakan kem ini.Kepada sahabat peserta dan sahabat KRU,semoga berjaya mengharungi STPM pada November ini.Persiapkan diri menuju medan tempur dengan kelengkapan yang secukupnya.Buktikan diri anda juga boleh.





Kad-kad yang terselamat  ^ _ ^

Apa perasaan adik-adik peserta tika melihat kad itu dimusnahkan setelah bersusah-payah menyiapkannya khas buat abang & kakak fasi tersayang?

Simbolik kepada apa perasan guru / ibu bapa adik-adik tika melihat adik-adik tidak menghargai jerih-perih mereka mendidik adik-adik?


p/s: Demi masa,sesungguhnya manusia itu berada didalam kerugian kecuali orang-yang beriman dan beramal soleh.Pesan-memesan kepada kebenaran,dan pesan-memesan dengan kesabaran.
Surah Al-Asr:1-3


Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru


Antara adab-adab dengan guru adalah seperti berikut:
1. Memberi salam dan sentiasa hormat kepada guru.
2. Duduk dengan sopan dan sentiasa dalam keadaan tenang.
3. Jika ingin bertanya minta izin terlebih dahulu.
4. Cari masa yang sesuai untuk bertanya.
5. Sentiasa menampakkan sikap menerima pendapat guru.
6. Hindari daripada menyinggung perasaan guru.
7. Memberi bantuan kepada guru apa yang dapat dibantu.
8. Lakukanlah apa yang paling disenangi oleh guru.
9. Bercakap dengan baik dengan guru, dengan menggunakan bahasa yang baik.
10. Tidak meninggikan suara semasa bercakap dengan guru.
 
10 garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu menerusi “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali. 
 
Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).

Istilah najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh merosakkan manusia.

Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).

Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.

Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.

Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.

Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.

Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.


Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.

Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.

Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)


Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.
 
 
 

Wednesday, May 11, 2011

Permudahkan




Yassiru wala tu-'assiruu wayubasy-syiru wala tunaffiru (Rawahu Al-Bukhari wa Muslim)
Makna Hadith - "Senangkanlah (permudahkanlah) dan jangan susahkan dan berilah khabar gembira dan jangan berikan khabar buruk (buatkan orang lari daripadamu)."



P/S : Permudahkan gerak kerja kita. Senyum seindah suria. ^ _ ^

Monday, May 9, 2011

Ruang Dakwah Terdampar Luas

 “Kakak tidak panaskah pakai tudung macam ni.” Tanya seorang remaja belasan tahun yang menganut Kristian.

“Tidaklah. Biasa ja. Dulu ustaz kakak bagitahu ada air-corn original kalau pakai tudung macam ni.” Jelas Humairah sambil tersenyum.

Diam seketika. Cari idea.

“Bukan kamu mahu masuk Islam?” Serkap Humairah memancing minat remaja tersebut.

“Ya mahu juga nanti.” Jawabnya malu-malu.

“Emak dan bapa bagikah? Adik-beradik ada yang dah masuk Islam?” Bertubi Humairah menyoal.

“Bagi ja tu, dorang tidak kisah. Belum ada lagi yang masuk Islam tapi kakak sulung saya mahu masuk Islam.” Jelasnya bersungguh.

“O baguslah macam tu.” 

“Adik bungsu saya pandai sembahyang. Dia ikut belajar masa sekolah tadika.” Sambungnya lagi.

“Berapa umur adik kamu tu?

“Lapan tahun, tahun dua.”

“Bagusnya, mahu jumpa dengan adik kamu. Bilalah dapat jumpa dia. Teringin sangat mahu jumpa. Apalah emak bapa kata tengok dia sembahyang.”

“Tiada apa-apa jugak. Kami semua tengok ja dia sembahyang.” Tambahnya lagi dengan senyuman manis.

“Bah kita sambung cerita lain kali ya, kena jalan dah ni. Jika ada sebarang pertanyaan tentang Islam jumpa 
dan tanya ja kakak. Jumpa lagi.” Pesan Humairah sebelum berlalu sambil memikirkan tindakan selanjutnya. Ini bukan sekali. Mungkinkah golongan sebegini perlu disatukan.

‘Ok. Terima kasih kak. Nanti saya jumpa kakak.”


Thursday, May 5, 2011

Renungkan

Sebelum program:

Suara telefon bimbit beralun.

“Maaf mengganggu. Betulkah ada program esok dengan Ilham?” Kedengaran suara seorang wanita dari corong telefon bimbit.

“Ya ada.” Jawab saya ringkas.

“O saya takut dia main-main dan ambil kesempatan pergi berjalan-jalan bah. Program apa tu” Tanya makcik kepada ilham lagi.

“Ada ceramah agama. Boleh bah Ilham datang tu kan?”  Suara dilunakkan  sedikit mengharap kerana sebelum ni Ilham memaklumkan makcik dia seorang yang tegas.

“Boleh bah.”  Sahut makcik Ilham yang berfahaman kristian selaku penjaga Ilham.


Semasa program:

“Kak, saya kena balik sebelum jam 4.30 petang sebab makcik saya sekeluarga mahu pergi gereja petang ni. Saya tidak ada kunci. Nanti tidak boleh masuk rumah pulak.” Luah Ilham awal pagi sebelum program bermula.

“Bah nanti kita atur supaya Ilham boleh balik awal.” Saya cuba memberi harapan untuk menghilangkan kerisauan Ilham.
-------------------------------

“Jam berapa habis program.” Tanya makcik Ilham melalui panggilan telepon kira-kira jam 1 petang.

“Kalau ikut tentatif jam 4.30 petang.” Ringkas.

“Bolehkah Ilham balik awal sikit? Sebab kami mahu pergi gereja. Takut dia tidak dapat masuk rumah pulak.” Soal makcik Ilham lagi.

“Ya ada Ilham bagitahu tadi. Boleh, insya-Allah nanti saya usahakan supaya Ilham boleh balik awal.” Jawab saya sambil kepala mencatur perjalanan baki masa program kerana petang itu ada slot yang sangat penting.


Beberapa hari selepas program:

“Bila lagi ada program dengan dorang Ilham?” Sapa makcik Ilham ketika kami berselisih di anak tangga.

“O sekarang ni tidak ada, lepas peperiksaan baru ada. Mahu bagi meraka bagi tumpuan dengan peperiksaan dulu.” Sahut saya dengan sedikit kaget.

“O bah lepas peperiksaanlah.” Pintasnya sambil tersenyum. 

Cukup melegahkan. 

Tuesday, May 3, 2011

22-24 April '11, KRIS Kundasang


Setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan inayah-Nya sekali lagi PSS & KRU cawangan Kundasang telah berjaya melaksanakan Kem Remaja Islam (KRIS) pada 22 hingga 24hb April 2011 dengan membawa tema "Discover The beauty of Islam" dengan penyertaan 51 orang peserta daripada empat buah lima buah sekolah antaranya, SMK Kundasang, SMK Ranau, SMKA Irsyadiah, SMKA Mohd Ali, Ranau. KRIS kali ini adalah kali yang ke-2 dilaksanakan memandangkan penubuhan KRU masih baru di kawasan kundasang. KRIS yang diadakan di Pusat Latihan Islam (PLI kundasang) menambahkan lagi semangat adik-adik peserta mengikuti program ini.


Ribuan terima kasih diucapkan kepada penceramah ketiga-tiga Kuliah Dasar yang telah mengupaskan tajuk Aqidah, Ibadah, dan Akhlak yang lebih detail kepada adik-adik peserta. Apa yang menarik pada KRIS kali ini, kami didatangi penceramah-penceramah yang mahir memikat hati adik-adik peserta kepada kecintaan yang mendalam terhadap Allah. Antara penceramah tersebut ialah Ustaz Anuar Ali-kuliah dasar 1, Ustazah Siti Khadizah-kuliah dasar 2, dan Ustaz Azuhan yang diimport dari semenanjung-kuliah dasar 3.


Buat adik-adik peserta yang dikasihi, ketahuilah bahawa tanpa adik-adik semua kem ini tiada maknanya. Terima kasih kami ucapkan atas pengorbanan adik-adik yang sanggup datang ke program kali ini. Allah saja yang dapat membalasnya. Harapan kami agar kecintaan adik-adik kepada Allah & Rasulullah S.A.W semakin mekar dalam hati adik-adik. Insyaallah jika rasa cinta adik-adik terhadap Allah & Rasul-Nya mendalam maka rasa cinta adik-adik terhadap ibu-bapa, adik-beradik, guru-guru, kawan-kawan & masyarakat juga akan turut mendalam. Kepada adik-adik peserta, manfaatkanlah segala ilmu yang telah kalian timba sepanjang program. Sebarkanlah ilmu tersebut kepada rakan-rakan yang tidak berpeluang untuk menyertai program KRIS '11 Kundasang ini. Aplikasi benih-benih ilmu itu dalam kehidupan agar lahirlah hasil yang lumayan. Usah disia-siakan masa serta tenaga yang telah kalian korbankan untuk program ini.
 
 
Tahniah juga kepada AJK dan Fasilitator yang menjadi tulang belakang terhadap program ini.Ingtlah,usaha kalian pasti akan mendapat ganjaran yang tiada tandingan nilainya kerana syurga Allah sentiasa menanti. Apa yang terpenting ialah keikhlasan serta niat untuk semua yang terlibat dalam program ini yang bermula dari AJK, Fasilitator dan juga peserta. Niatkanlah ianya hanya untuk menggapai keredhaan Allah serta ikhlaskan diri sepenuhnya tanpa mengharapkan sebarang ganjaran duniawi.


Semoga berjumpa lagi dalam Kem Remaja Islam yang akan datang! InsyaAllah.


Banner yang dicari-cari (^ _^)








 


 



Di mana ada KRU Tuaran, di situ ada jualan.