Sunday, December 27, 2009

Bisikan Syahadah Di Ringlet

Aku mengerling ke arah jam di pergelangan tangan. Pukul 6.00 petang. Hari tampak makin kelam, siang kian berangkat pergi. Kujeling Auzan yang begitu fokus memandu. Saiful di kerusi belakang asyik memerhati gunung-ganang yang menggamit pandangan. Rabbani dan Rahman pula kelihatan begitu letih. Keadaan di Kuala Lumpur amat sesak, serasa perjalanan ke Cameron Highland ini begitu memenatkan.

Inilah kali pertama aku mendaki kawasan yang cukup dingin ini. Bayu yang mengelus memang menyegarkan, amat mendamaikan. Namun singgahanku ini bukanlah sekadar liburan, tetapi kupunya satu misi agung. MengIslamkan Amar Thapa. Akalku segera mengenang apabila lelaki Nepal itu menghubungiku Jumaat yang sudah. Dia menyatakan keinginan untuk memeluk Islam. Katanya dia kini berkerja di Cameron Highland.




Cameron Highland? Letaknya jauh beratus batu. Sedangkan harga petrol naik mendadak.Lamunanku terhenti. Kereta yang berselisih membunyikan hon. Di batu penanda tertera jelas jarak menuju Ringlet tinggal lagi 20 kilometer. Aku mengeluh panjang. Hujung minggu sebegini sewajarnya aku luangkan bersama famili. Inilah detik rehatku yang paling tepat. Selaku aktivis, waktu kerjaku bukan hanya sembilan pagi hingga enam petang. Adakalanya hingga larut malam. Silap-silap, bermalam di pejabat atau mungkin di merata-rata tempat.Berjalan ke sini sana seakan-akan jadi suatu rutin. Termasuk apa yang aku alami sekarang, berjaulah beratus kilometer ke kawasan pedalaman – demi mengIslamkan Amar! Entah-entah, Amar ini masih ragu-ragu, lalu tiba-tiba dia enggan memeluk Islam. Buang masa saja!




Astaghfirullah, cepat-cepatku beristighfar. Ah! Lelaki itu cukup bernilai; walau hanya dia seorang. PengIslamannya adalah satu rahmat. Namun, seandainya dia menolak Islam, itu dikira sebagai suatu muhasabah. Allah Ta'ala Maha Penentu. Kita buat kerja kita, selebihnya serah pada Tuhan. Hanya Allah Ta'ala yang berkuasa memberi petunjuk, sedangkan kita hanya menunjuk ajar. Usah riak dan angkuh, seakan-akan kita yang melempar hidayah. Cukup hanya kita pimpin sedaya mampu, lalu kita bergantung pada Rabb..




Ya Allah! Bukakanlah pintu hati Amar agar dia menerima Islam.. . . . . . . .




*************************************************************************************




Telefon bimbit kucapai, langsung tujuh digit didail. Amar cepat-cepat menjawab. Suaranya ceria. Mungkin sudah tidak mampu membendung sabar. "Saya ada di depan Bank CIMB, kita jumpa di sana.".




Wira meluncur laju. Auzan sibuk mencari tapak parkir yang sesuai. Sangkaanku tentang pekan Ringlet benar-benar meleset. Tercetus di minda; kawasan ini kampung yang tidak membangun, desa yang mundur. Telahanku salah. Walaupun tidak begitu pesat, bandar ini tetap meriah. Cuacanya pula agak sederhana, tidak terlalu sejuk. Mungkin tidak sesejuk Tanah Rata yang mendekati puncak.


Ada tiga kelibat berseluar ala militari, lagaknya seperti menanti seseorang. Dua daripadanya macam sebangsa, manakala seorang lagi kulitnya sedikit gelap persis orang India. Sengaja kudail nombor Amar, ingin menduga apakah dia salah seorang dari mereka..Tangannya giat menyeluk poket mencapai telefon. Sah, pemuda tinggi kurus itu ialah Amar! Aku menghampiri mereka. Masing-masing tersenyum lebar.


Tangan dihulur, hangat terasa. Moga pertemuan kali pertama ini mencipta sejarah pengIslamanmu Amar! Empat yang lain turut bersalam erat. Lalu mereka bertiga kuajak duduk di kedai makan yang berdekatan.


Sambil berjalan, kubuka kantung mesej selular. Mesej ringkas dari Pakcik Muhammad dibaca berulang kali. "Terangkan rukun Islam kepada dia, fahamkan dia makna dua kalimah syahadah yang akan dia ucapkan. Jika dia mahu, maka terima syahadahnya. Kalau boleh biar ada orang Islam di sana yang saksikan dan temankan dia untuk buat pendaftaran di Jabatan Agama Islam Pahang."


Proses yang pertama bagiku agak mudah. Cukup sekadar menerangkan perkara-perkara asas kepercayaan Islam. Namun tindakan susulan itu yang agak merisaukan. Rasanya agak sukar mengenalpasti orang Islam yang sudi menolong. Tidak ramai orang Melayu yang sanggup untuk membantu dalam hal sebegini, apalagi Amar ialah rakyat asing. Komuniti Muslim di sini juga tidak begitu besar. Dari mana agaknya pertolongan itu akan datang?


Allah Ta'ala. Aku ada Tuhan di sisi. Bantuan dari Tuhan pasti akan datang mengiringi.Tidak mengapa, urusan teknikal itu biar diketepikan dulu. Paling penting, akidah pemuda ini mesti diluruskan.. . . . . . . ."


Saya Shob Bahadur, dan ini Joy Dass dari Bangladesh." Pemuda bertubuh tegap itu memperkenalkan diri. Joy tersipu-sipu malu. Bahasa Melayu Shob agak pelat, tapi masih boleh difahami. Dia duduk bersetentang dengan Amar yang sedari tadi tunduk. Mungkin rasa takut membalut hati. Bertukar agama bukanlah perkara main-main. Ini melibatkan hidup dan mati!


Aku turut rasa gentar. Inilah pengalaman sulungku mensyahadahkan bakal saudara baru. Jantung berdetak kencang. Auzan, Saiful dan Rahman memandang tepat ke arahku. Suasana senyap sunyi. Rabbani pula gigih mencari syot yang menarik untuk dirakam. Syukurilllah, kehadiran mereka berempat benar-benar menguatkan keyakinanku.


Aku mendehem, langsung membuka bicara; "Baiklah, saya dengar Amar ingin memeluk Islam. Shob pun berminat juga ke?" Sengaja kusenyum ramah, ingin meleraikan tembok yang masih meninggi di antara kami. Amar dan Shob mengangguk serentak.


Aku menambah ringkas, "Joy pula?". Joy hanya tersengih, Shob membalas dalam nada berbisik. "Joy tak berminat. Lagipun dia amat susah untuk menerima Islam setelah diceritakan. “Rupanya bukan satu, tapi ada dua pemuda berharga yang jiwanya sedang terbuka luas. Sementara pemuda yang ketiga masih hatinya masih terkatup rapat.


Moga-moga Allah Ta'ala menerangi kalbumu dengan nur Iman, Joy!


"Jadi boleh saya tahu kenapa Amar dan Shob ingin memeluk Islam." Soalan ini sengaja kutanya, demi menduga apakah sebab mereka ingin menganut agama tauhid ini. Lalu Amar menjawab tersekat-sekat, "Kami ingin masuk Islam sejak berada di Nepal, tapi di sana agak susah. Sebab orang Islam sangat sedikit. Jadi, kami mahu ambil peluang di Malaysia untuk masuk Islam." Shob mengiyakan jawapan Amar.


Syukur dan hamdallah bersatu. Rupa-rupanya hasrat untuk memeluk Islam sudah lama berbuah di jiwa Amar dan Shob. Cuma perlu diserikan dengan didikan agar buahnya ranum dan harum. Lalu dengan izin Allah Azzawajalla, buah itu boleh dipetik, menyerikan lagi taman-taman orang yang beriman. Semoga niat kudus itu tetap mekar mewangi, hingga hela nafas yang terakhir.


Meyakini keinginan Amar dan Shob yang membuak-buak, aku mula bersyarah khutbah syahadah. Tidak panjang, cukup hanya menjelaskan pokok ajaran Islam. "Apa yang membezakan Islam dengan agama lain ialah konsep ketuhanan. Di dalam Islam, kami hanya percaya dan yakin akan kewujudkan satu Tuhan, iaitu Allah Ta'ala. Segala apa yang kami lakukan di bumi ini hanyalah untuk Allah Ta'ala, sebagai Pencipta manusia dan juga alam semesta."Amar dan Shob menyengguk. Joy sekadar memerhati dari jauh.."


Selain itu, kami juga percaya dan yakin bahawa Nabi Muhamad Solallahu 'alaihi wassalam ialah pesuruh Allah Ta'ala. Dia merupakan Nabi Allah Ta'ala." Aku berhenti di situ. Berehat sejenak selepas intipati syahadah dirungkai secara ringkas.




"Amar dan Shob faham?" Sengaja kupanggil nama mereka sebagai ganti nama, agar keadaan jadi lebih mesra. Kesuraman ini mesti dilenyapkan.

Amar dan Shob lalu berbual dalam bahasa yang tidak kufahami. Mungkin keduanya berbincang tentang apa yang aku katakan tadi. Joy pula sibuk bertanya Rahman; sambil merujuk pada terjemahan Al-Quran Bahasa Inggeris yang turut dibawa bersama. Kebetulan, beberapa naskhah kitab yang dibawa Rabbani amat membantu sebagai bahan rujukan dan sokongan.

Tiba-tiba Shob menjawab "Saya faham, dia tak fahamlah." Sambil sedikit mendongak ke arah Amar. "Dia susah faham Bahasa Melayu, kena cakap perlahan-lahan.”

Baru kutahu; Shob pandai berbahasa Melayu, tetapi tidak mampu berbahasa Inggeris. Amar pula mampu berbahasa Inggeris, namun sukar memahami Bahasa Melayu. Sedangkan Joy gagal menguasai kedua-dua bahasa, hanya faham sikit-sikit lantaran hijrahnya ke tanahair amat mutakhir. Aku tersenyum sendiri, atau mungkin kalamku terlalu cepat!

Lalu kusampaikan penerangan secara dwibahasa; selepasku berbahasa Melayu, aku terjemahkan dalam Bahasa Inggeris bagi meraikan kedua-dua lelaki ini. Kefahaman Amar dan Shob nampaknya semakin jelas. Tapi dari riak paras mereka, tampak seolah-olah mereka menyembunyikan sesuatu. Ada yang benda yang membuku di hati, namun tidak mahu diluahkan.

Seraya aku menambah, "Islam agama yang mudah. Pengamalan Islam boleh dilaksanakan secara berperingkat. Seperti solat. Saudara baru seperti kalian sudah pasti tidak mahir bersolat. Maka, kalian tidak wajib bersolat sehingga Amar dan Shob tahu bagaimana untuk bersolat. Begitu juga membaca Al-Quran. InsyaAllah, kalian akan didatangi seorang ustaz untuk mengajarkan kaifiat solat, tilawah Al-Quran serta lain-lain ibadah yang wajib dilakukan." Kuucapkan panjang lebar.

Auzan lantas menambah, "Paling penting, hati kita semua. Jika kita betul-betul ikhlas ingin menganut Islam, maka kita belajar perlahan-lahan. Solat dan puasa itu wajib kalian lakukan kelak, tapi pastikan kalian terlebih dahulu memahami dan menghadami ajaran Islam yang suci." Teh 'O' suam yang masih bersisa dalam gelas diteguknya penuh berhati-hati.

Amar, Shob dan Joy mengangguk lagi.

Kumula memancing perlahan-lahan, "Asalkan Amar dan Shob percaya dan yakin bahawa Tuhan itu satu, dan Nabi Muhammad Sollahu 'alaihi wassalam itu pesuruh Allah Ta'ala, maka kalian sudah meyakini Islam itu agama yang benar. Tentang solat, tadarus Al-Quran dan puasa, itu bisa dipelajari kemudian. Perlahan-lahan, sampai kalian menguasai ilmu-ilmu itu."

Semua diam. Lima belas minit yang sudah azan Maghrib berkumandang di corong radio. Diikuti alunan irama nasyid kontemporari. Lalu kini Mulan Jameela mendendangkan lagu 'Makhluk Tuhan Paling Seksi'. Tidak. Bagiku, dakwah sedikit rumit untuk berlangsung dalam bi'ah sebegini. Langsung kudekati pekerja kedai itu dan memohon izin untuk mengubah saluran.

Cepat-cepat dia mematikan radio. Sungguh, dia amat memahami. Moga Allah Azzawajalla membalas jasa murninya!

Amar mengangkat wajah, mengajukan soalan, "Bagaimana untuk jadi Muslim yang baik?"

Maha Suci Allah, pemuda ini begitu tulus! Dia bukan hanya mahu menganut Islam semata-mata, seperti majoriti Muslim serata benua. Tetapi dia ingin menjadi Muslim yang soleh.

Pertanyaannya menampar hatiku halus. Sepanjang 23 tahun dihidupkan di muka bumi Tuhan, jarang sekali, aku menyoalku diriku sendiri; apakah aku sendiri Muslim yang benar-benar bertaqwa? Mukmin yang selayaknya dijanjikan rahmat dan maghfirah dari Tuhan..

Ya Allah, dari-Mu aku datang dan pada-Mu aku pasti kembali..

Aku mencari jawapan serata benak. "Untuk jadi Muslim yang baik, pertamanya perlu meyakini keesaan Allah Ta'ala sebagai Rabb sekalian alam. Juga yakin bahawa Nabi Muhamad Solallahu 'alaihi wassalam. Seterusnya mengimani rukun-rukun iman yakni yakin dengan wujudnya malaikat, nabi-nabi Allah Azzawajalla, kitab-kitab Tuhan, hari kiamat juga qada' dan qadar. Semua itu akan dipelajari nanti." Sengaja kutenangkan hati mereka dengan ayat penutup ini."Selain itu, kita mesti lakukan pada yang disuruh oleh Allah Ta'ala. Rukun Islam yang lima wajib dipatuhi. Syahadah yang akan saya ajar sebentar lagi, bersolat fardhu, puasa dalam masa sebulan." Dua lagi rukun tidakku tekankan sepenuhnya. Khuatir Amar dan Shob jadi makin keliru. Proses tarbiah sepatutnya berjalan secara berperingkat. Hikayat sirah Nabawiyah sudah membuktikan!Satu soalan yang sudah kuduga terpacul dari bibir nipis Shob, "Tentang 'potong', untuk masuk Islam memang terus kena 'potong' ke?" Rabbani dan Saiful serentak tersenyum manis. Rahman terpinga-pinga. Aku turut tersengih. Selama ini aku hanya menadah telinga dari para penceramah yang mengkisahkan bahawa berkhatan ialah antara punca yang menghalang cita-cita untuk diIslamkan. Lazimnya isu ini jadi bahan lawak bagi menggamatkan suasana kuliah, dan jarang sekali untuk kita fikirkan sungguh-sungguh. Kalaulah kita berada di tempat mereka.

Kujejak balasan yang sarat hikmah. "Bila Amar dan Shob betul-betul bersedia untuk 'potong', maka 'potong'lah. Jika masih belum bersedia untuk di'potong', tak bermakna kalian bukan Muslim yang baik. Fahami isi ajaran Islam dahulu, itu jauh lebih utama." Lirik mataku dan Shob berlaga sejeda. Dapatku baca riak kelegaan di wajahnya. Langsung Auzan memperincikan kaedah berkhatan berserta sebab disyariatkan amalan ini. Ibadah yang sekian lama wujud, hatta sebelum era kenabian Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam.. . . . . . . .

************************************************************************************
Jarum jam tepat menuju angka lapan dan enam. Dari jam tujuh santak lapan setengah malam, butir bicara kami tidak putus-putus. Bermacam pertanyaan ditimbulkan, lalu aku berikhtiar menyelesaikan seboleh mampu. Auzan, Rahman, Saiful dan Rabbani yang setia teguh di sisi, banyak membantuku merungkai persoalan. Terima kasih, wahai teman seperjuangan!

Waktu Isyak kian menjengah. Kukira inilah detik terbaik bagi untukku mensyahadahkan kedua-dua pemuda ini. Tidak semena-mena pengalaman bersyahadah tokoh pendakwah, Lim Joo Soon terbit di ufuk minda. Ujar beliau melalui ceramahnya; beliau hanya berjaya bersyahadah selepas setengah jam! Bukan angkara sendiri, tetapi rencana pegawai yang mengIslamkan. Masakan, kalimah yang dilafazkan diharap begitu sempurna tajwidnya! Mana mungkin kepelatan ini dapat dibuang di kala genting sebegini, detik meluruskan akidah ke Siratul Mustakim.

Menurut hematku, bunyi yang sudah menyerupai syahadatain sudah cukup memadai. Tunjuk satu-satu, beri peluang seluas-luasnya untuk dia menurut apa yang diajarkan. Diikuti dengan melafazkan terjemahan kalimah syahadah menerusi bahasa yang mudah difahami.

Ya Rabb, permudahkanlah urusanku ini. Lembutkanlah hati Amar dan Shob untuk menerima Islam! Aku berdehem beberapa kali mencari kekuatan, "Amar dan Shob benar-benar percaya dan yakin bahawa Tuhan itu satu? Iaitu Allah Ta'ala yang menciptakan manusia dan segenap alam cakerawala?" Anak mata Amar dan Shob kupandang tepat bergilir-gilir.

Dua-dua mengangguk.

Langsung kutambah, "Amar dan Shob juga percaya dan yakin bahawa Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam itu pesuruh Allah Azzawajalla? "

Dua-dua mengangguk.

Tawakal setinggi angkasa kusandarkan pada Tuhan, "Alhamdulillah, hakikatnya kepercayaan Amar dan Shob serupa dengan kepercayaan orang Islam. Kalian begitu hampir dengan Islam. Apa pun, untuk menjadi Muslim, kalian perlu bersyahadah. Mudah saja, saya akan ajarkan perlahan-lahan. Boleh?" Jantung berdegup deras menanti reaksi..

Dua-dua mengangguk..

Tangisku hampir-hampir terhambur. Sungguh, penantian itu suatu penderitaan. Namun penghujungnya indah andai sabar jadi perisai. Tanpa alpa pada kehendak dan kuasa Tuhan!.

"Baik, biar saya ajar Amar dahulu." Tanganku erat menyalami Amar, lalu kudekatkan mulut ke telinganya. Perlahan-lahan, kubisikkan syahadatain yang mulia di telinga lelaki ini. Amar menurut perlahan-lahan butir demi butir. "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah Ta'ala, dan Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam itu pesuruh Allah.".

Umat Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam bertambah seorang.

Puji dan puja untuk Allah Azzawajalla, selesai sudah urusan mengIslamkan Amar. Kubingkas bangkit lalu melabuhkan punggung di sebelah kiri Shob. Kualunkan kalimah penyaksian, telinganya setia menadah. Tanpa keraguan, dia menyambut sedaya mungkin.

Umat Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam bertambah lagi seorang.Syahdu, syukur dan hamdallah bersatu, mencetus kegirangan. Lafaz tahmid bergema di mana-mana, biarpun hanya di kalangan lapan pemuda yang asyik menyelongkar kebenaran.

Pelbagai aksi dirakam menerusi lensa kamera. Terasa kehangatan ukhuwah yang terbina di atas batu asas yang bernama akidah. Joy turut kelihatan gembira. Pemuda suku abad yang agak pendiam itu mulanya hanya tersenyum, tapi kini ngomelnya makin banyak. Kuharap suatu hari nanti, Joy akan turut berkongsi anutan bersama Amar dan Shob. Juga aku, Auzan, Rabbani, Saiful dan Rahman. Mengabdikan diri ke hadrat Allah Ta'ala Yang Maha Esa..

Tiba-tiba Amar mengumumkan sesuatu. "Kami ada minta tolong kawan kami untuk petik beberapa sayur-sayuran, sebagai hadiah buat kalian. Terimalah dari kami, beberapa biji kobis dan timun." Langsung dia terseringai. Shob dan Joy pula mengangguk bersetuju..

Mulianya hati kalian. Moga-moga Islam akan bertambah mulia dengan pengIslaman Amar dan Shob! Dua bungkusan besar berisi sayur segar-bugar diterima Rahman..

Semoga pulangnya Amar dan Shob ke pangkuan Islam bakal menjadi simbol abadi sebuah persahabatan yang terukir mewah di atas menara syahadah. Kalian saudara kami, di dunia jua di akhirat! Berikrarlah, keakraban yang tercipta tidak akan putus biarpun dicincang oleh musuh-musuh agama. Munajat dipanjatkan, moga-moga pertemuan singkat ini kelak akan dikurniai lindungan 'arasy Allah Ta'ala yang mulia. Ya Rabb, satukan hati-hati kami!

Amin. Amin. Amin..

Tidak semena-mena Joy mendekatiku.."Saya juga mahu masuk Islam." Joy memohon penuh optimis..

Air mata sudah tidak terkawal lagi. Allah Maha Besar! Rencana agung Tuhan menewaskan segala macam rancangan makhluk. Allah Ta'ala pemilik tunggal jiwa semua manusia. Hanya Tuhan yang berhak menganugerahkan hidayah, dan kini permata syahadah datang bertamu di kalbu Joy. Jiwa yang benar-benar mencintai kebenaran..

Sisa air di pelupuk mata diseka lembut, "Alhamdulillah, mari saya syahadahkan. " Tangan Joy kugenggam ketat. Kalimah syahadah dibisikkan lambat-lambat, Joy mengikut penuh fasih.

Umat Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam bertambah lagi..

Perjumpaan hampir dua jam ini akhirnya berakhir. Masing-masing saling berpelukan, tirai yang memisahkan semakin terlerai, moga-moga leraian ini dinilai sebagai ibadah di sisi Tuhan. Sungguh, perpisahan itu memedihkan! Namun penawarnya nantiasa tersedia, penyembuhnya ada di samping kita; saling mendo'akan sesama saudara seagama..

Ya Rabb, berkatilah kehidupan Amar, Shob dan Joy!.

************************************************************************************
Solat jama' takhir dikerjakan di Surau An-Nur. Tenang, setenang kalbu yang baru disimbahi cahaya iman..

Bacaan do'a diaminkan..Moga-moga taqwa yang mewarnai diri kekal lestari hingga hujung nyawa. Usah dipersia walau sesaat nikmat iman kurniaan Tuhan.Kerana begitu ramai yang dahagakannya.

No comments: