Hari ini 14 November, SPM bermula. Selamat menduduki SPM buat sahabat-sahabat KRU. Fokus jangan tak fokus. Teruskan usaha dan berdoa. Kami sentiasa mendoakan kejayaan kalian. Sebelum slot ceramah qiamullail kali ini bermula solat hajat khas buat sahabat-sahabat KRU yang menduduki SPM dan STPM tahun ini telah dilaksanakan.
Lebih kurang dua minggu lagi kita akan melangkah ke tahun baru hijrah. Justeru, pihak penganjur telah memilih 'Hijrah dan Muhasabah' sebagai topik ceramah.
Lewat malam usai ceramah, ahli mesyuarat telah memutuskan tarikh qiamullail bulan depan pada 22-23 Disember 2011 (Khamis - Jumaat). Bukan hujung minggu. Cadangan tempat di Surau Kg. Bolong Lama ( bergantung kepada kesediaan penerimaan pihak kampung). Sebarang perubahan akan dimaklumkan melalui blog ini.
LDK pagi membicarakan 'Ada Apa dengan Orang Muda???'
Hadith 1:
“Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu masa muda engkau sebelum masa tua, masa sihat engkau sebelum engkau dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum engkau jatuh papa, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk dan masa hidup engkau sebelum datang saat kematian.
Hadith 2:
Rasulullah SAW bersabda: Sekali-kali tidak akan berganjak kedua kaki seorang hamba (manusia) pada Hari Kiamat nanti sehingga kepadanya ditanya tentang empat perkara:
- Tentang umurnya kemana dia habiskan
- Tentang masa mudanya kemana dia pergunakan
- Tentang hartanya dari mana dia perolehi dan kemana ia belanjakan
- Tentang ilmunya apakah yang dia amalkan.
(Hadis Riwayat Al-Bazzar dan Al-Tabarany dengan sanad sahih)
Hadith 3:
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.." (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)
Serentak dengan qiamullail KRUT buat julung kalinya berlangsung KRIS Beaufort 11-13 November 2011. Sayap KRU semakin melebar dengan tertubuhnya KRU Beaufort. Tahniah kepada AJK pelaksana dan peserta KRIS Beaufort.
TAHNIAH!!! (^_^)
No comments:
Post a Comment