Thursday, September 25, 2014

Bersabarkah Aku?




Kami bertemu semula dalam bulatan gembira selepas bercuti pertengahan penggal 2 selama seminggu. Salah satu topik perbincangan adalah berkaitan dengan sabar. Ya, sabar.

Tetiba salah seorang sahabat menahan sedu bersama linangan air mata selepas memaklumkan ada satu peristiwa yang berlaku masa cuti yang begitu berkesan mengajarnya erti kesabaran.

Kami sabar menanti butir bicaranya. Namun setiap kali dia ingin berbicara, suaranya tenggelam bersama esakan tangisan syahdu.

Kami membiarkan dia seketika untuk mengumpul kekuatan sambil mendengar perkongsian pengalaman daripada sahabat-sahabat yang lain.

Kini gilirannya tiba lagi. Mulanya dia masih sukar untuk merungkaikan dengan kata-kata.

Tanda tanya kami makin menebal. Kami cuba meneka-neka untuk memberi rangsangan kepadanya. Tiada jawapan lain yang kami terima melainkan gelengan demi gelangan. Sesekali kami tersenyum simpul dan tertawa kecil diikuti dengan tawanya jua dek semua tekaan kami yang meleset.

“Ini berkaitan dengan keluarga saya. Keluarga saya bukanlah kuat dalam beragama.” Luahnya sambil memaklumkan “buruknya suara saya”. Suara parau selepas menangis.

“Solat, solat. Ya tentang solat. “ Suaranya tersekat-sekat. Kemudian diam lagi.

“Siapa yang solat? Emak solat?” Terpacul soalan dari seorang ahli bulatan gembira.

“Bukan. Bukan emak saya, bapa saya.” Jawabnya diiringi tangisan.

“Alhamdulillah.” Itulah lafaz yang keluar di bibir kami dan meresap jauh ke dalam lubuk hati. Kegembiraan sahabat, kegembiraan kami jua.

“Bagaimana ia bermula?” Tanya seorang ahli usrah dalam keadaan teruja.

“Malam jumaat masa cuti, bapa tanya saya sibukkah atau tidak. Saya jawab, tidak juga. Masa tulah bapa saya minta tunjuk cara solat. Bukan bapa tidak tahu langsung tentang solat, cuma mungkin lama ditinggal jadi ada yang lupa. Jadi agak mudahlah bagi saya bimbing bapa cara solat. Keesokkan paginya usai saya solat subuh, bapa tanya saya ada nampakkah songkok yang biasa dia pakai. Saya jawab ada dalam bilik. Tidak lama selepas itu saya nampak bapa solat. Tidak dapat digambarkan perasaan saya ketika itu. Hanya Allah yang tahu.” Demikian terangnya panjang lebar sambil sesekali tersekat-sekat disulami tangisan kegembiraan.

“Sejak sekian lama saya sering dan sabar berdoa, akhirnya Allah makmulkan doa saya pada hari jumaat tersebut. Ya, saya betul-betul rasa keperluan kita untuk bersabar dan yakinlah Allah akan membantu jika kita bersabar.” Demikian kesimpulannya dengan wajah kesyukuran.

Malam itu kami pulang dari bulatan gembira dengan azam untuk menjadi seorang yang penyabar dan istiqamah berdoa.




No comments: