Sunday, February 6, 2011

KG ESTET : DAH LAMA KITA TIDAK KUNJUNGI

Imbas semula, renungi kisah 2009 ini:

TAJUK: IKLAS TAPI JAUH...

“Hai ustajah!”

Dua orang budak perempuan yang meningkat dewasa menyapa kami mesra. Dengan telekung di tangan dan langkah yang disusun menuju surau itu saya memerhatikan sahaja gerak langkah mereka. Bagaikan rusa masuk kampung saya ini.

“Hai lagi. Assalamualaikum bah. Mana telekung kamu? Pakailah!” balas ‘ustajah’ (ustazah) yang dimaksudkan di sebelah saya. Mahu tergelak juga saya, tetapi cuba ditahan. Saya ingat pesan Afifi bakal YB Putatan itu.

“Serius, serius. Berhenti bermain,” begitu pesannya dari dalam kereta lagi.

Dengan izin Allah masuk hari ketiga memijak bumi bertuah itu saya ditemukan dengan sahabat-sahabat seperjuangan. Afifi, Kak Faridah, Fauziah, Hafizi, Ustazah Aminah…Dan insyaAllah lebih ramai lagi yang bakal menyusul. Walaupun jet lag itu baru mahu sembuh dan Circadian Rhythm saya belum begitu teratur, langkah digagahkan juga. Naik bosan saya terperap di rumah meskipun ‘astro’ yang tidak bernyawa itu sedia meneman.

Bercerita mengenai jet lag

Ketika merentasi tempat-tempat lain di dunia, kita melalui beberapa zon masa yang berbeza. Dalam masa yang singkat kita sudah berada di tempat lain sedangkan tubuh kita masih menyimpan ‘maklumat’ pada tempat asal sebelum kita bermusafir. Maklumat asal yang sangat berpengaruh yang saya maksudkan adalah Circadian Rhythm dan temperature rhythm adalah antaranya. Jet lag berlaku apabila tubuh masih merekodkan suhu yang mematuhi temperature rhythm pada tempat asal, sedangkan kita sudah berada pada zon masa yang berbeza.

Itu menjadi sebab keluarga saya sekadar tersengih melihat saya tiba-tiba tertidur di dalam kereta, tidur di waktu siang dan pada masa-masa yang ‘tidak sepatutnya’. Bahasa mudahnya disebut sebagai ‘mata Mesir’ (bahasa kawan-kawan). InsyaAllah dalam masa terdekat temperature rhythm itu akan mematuhi zon masa di Malaysia dan pulih sepenuhnya.


“Naiklah ke surau kami yang tidak seberapa ini!” Jerit seorang anak kecil.

Melangkah naik ke surau itu, lampu kalimantang nan sebatang kelihatan tegak menerangi surau. Dan lampu itu bukan milik surau, tetapi milik tuan rumah sebelah yang bermurah hati menerangi surau. Jangan diimpikan adanya penghawa dingin, kipas sebatang pun tidak ada. Bekalan air juga tidak ada, hanya bergantung harap pada tadahan air hujan di tangki besar itu. Dan unggas malam juga sang cengkerik bernyanyi meriah menjadi penyeri surau. Menjadi ganti kepada azan dan iqamah barangkali.

Dhaif jiddan! Kalau boleh istisna’, istisna’ sudah! Hati mengomel sendiri.

Terbayang lampu terang-berderang dan berbagai warna yang menjadi pesta pusat membeli-belah ketika saya berjalan-jalan di KLCC dua hari lepas. Ah, masakan surau kecil begini tidak ada ruang untuk lampu yang banyak itu? Dan teringat juga keluhan makcik di Singapore ketika hendak menunaikan solat Subuh di sebuah surau.

“Tidak ada sesiapa yang datang ke surau ini,” rungut makcik itu. Surau itu selesa. Aircond ada. Lampu terang berderang. Orang saja yang kurang…


“Ya Allah, cutenya budak-budak ini!” Terpacul perkataan itu dari bibir saya tanpa sedar. Mereka ini memang menghiburkan, dan telatah mereka menambahkan semangat saya.

Ya, mereka saudara saya. Dan saya tidak punya saudara yang lain selain mereka.

Tiba-tiba ada objek yang berterbangan di dalam surau. Burung? Ya, burung!

Anak kecil itu menangkat tangannya dan menyatukan kedua telapak tangannya di udara.

Tap! Dia dapat menangkap burung itu.

Saya ternganga. Biar betul. Tergelak selepas itu. Aduh, ada acara menangkap burung pula di dalam surau ini.

Malam ini kali pertama surau itu mengadakan solat sunat terawih. Berimamkan seorang imam yang diimport dari Ukraine, bersyukur saya kerana Allah memberi kesempatan untuk saya menjadi saksi pada malam itu.

“Saya seorang jak ka yang nda faham apa-apa ini?”

Lima tubuh yang masing-masing otaknya menyimpan kamus Bahasa Bajau itu tergelak serentak. Saya sedari tadi terdiam dan berusaha memahami. Mereka speaking bahasa Bajau! Manalah saya tidak terdiam.

Memang bahasa itu menjadi kunci dalam pelbagai urusan. Hendakkan ilmu dengan bahasa. Hendak mencampuri sesuatu kaum dengan bahasa. Mengelak ditipu dengan bahasa juga. Betapa saya yang berbangsa Melayu Brunei tetapi tidak mampu berbahasa Brunei ini juga merasa terpukul dengan situasi itu. Mak dan ayah tidak mewariskan apa-apa bahasa suku kaum kepada kami, jadi kepakaran itu tidak ada.

Terpaksa juga saya membelek kamus bahasa Bajau selepas ini.

Wasilah dakwah itu memaksa kita menambahkan kebolehan dalam pelbagai perkara. Alhamdulillah.

“Kawanmu tu bah macam ustaz,” usul Ustazah Aminah. Malam semakin gelap, YB kelihatan semakin rancak berbual.

“Ya doktor bah itu,” jawab Kak Faridah. Senyum.

“Macam ustaz macam doktor jugak,” balas Ustazah Aminah lagi.

Saya tersengih di sisi mereka.

“Yang budak agamanya nda tahu ke mana,” sambut Fauziah pula.

“Herm…,” saya menjawab perlahan. Beku. Kepala berselirat berbagai ragam. Hati sudah sedikit tenang.

“InsyaAllah nda lama lagi datanglah diorang tu.”

Entah.

Sama ada saya memberi JANJI atau sekadar HARAPAN, bukan saya yang menentukan perkara itu.

“Sabah ini baru mau naik bah ini. Pelan-pelan kita aaa..,” saya menambah lagi. Harapan juga barangkali, bukannya janji.

“Mau kena push!”Sambung Fauziah lagi.

“Kita ni mati-mati mau kasi naik durang. Penat sudah membebel,” saya menyambung lagi.

“Kalau macam saya ini mana ada apa-apa. Nda tahu apa-apa bah. Susah mau kerja,” menyambung saya membebel. Cuba mengelak isu itu berpanjangan tetapi tidak mampu, akhirnya disambut juga oleh imam Ukraine ketika dalam perjalanan pulang.

“Bagus lagi itu orang sana (Mesir) yang menegur. Kalau orang luar yang tegur?”

Senyap.

“Akhirnya budak Poli jugak yang turun,” ucapnya memegang bahu Hafizi. Senyum juga saya.

Ah, tidak mahu saya membebel lagi. Cukuplah yang lepas-lepas.

“Ya lah kerja dakwah ini mana ada gaji. Miskin bah kita ini. Itulah nda ramai orang datang,” saya menambah.

Kesal.

Sayu.

Entah apa lagi.


Hari ini kelihatannya sijil itu menjadi petanda bahawa individu itu berilmu.

Kalau begitu maka kehinaanlah buat siapa jua yang memiliki sijil tetapi tidak menterjemahkan apa yang dicetak pada sijilnya itu ke dalam kehidupan.

Apakah indikator orang yang berilmu di dalam kitab Allah?

Orang yang berilmu ialah orang yang menyimpan rasa takut kepada Allah. Itulah petanda orang berilmu. Bukan mereka yang sijilnya tebal menggunung, tetapi liat menegakkan ayat Allah.

Chaq, sudah-sudahlah membebel itu. T_T

Ustazah Aminah tekun bercerita perihal dakwah. Dia sekadar pengajar KAFA. Tidak ada ijazah. Tidak pula belajar ke luar negara. Sudah sedikit berusia.

Tetapi semangatnya itu membuatkan saya malu sendiri.

Dia bukan mencari harta. Dia bukan mencari nama. Dia mahu melihat anak-anak kecil itu kenal Allah. Dia mahu melihat anak-anak kecil itu sujud ke tanah menyembah Yang Esa.

“Pigilah kamu cakap sama imam itu supaya ada solat terawih hari-hari. Minta solat hari raya juga. Pigi…” arah Ustazah Aminah. Anak-anak kecil itu gembira. Suka barangkali surau itu diimarahkan. Bayangkan saja solat terawih itu julung-julung kalinya diadakan di surau kampung tersebut.

Air mata saya tumpah juga.

Ya Allah!!!

Tidakkah mereka yang mengaku berijazah itu menyimpan sekelumit rasa malu?

Pada Allah?

Pada RasulNya?

Pada kitab yang dibaca?

Pada sijil yang dibangga?

Pada hari akhirat yang akan ditanya?

Masih adakah ruang untuk rasa malu itu?


Saya menyimpan rasa kagum apabila sahabat saya ini menceritakan bahawa ada dari kalangan kenalannya berhijrah ke Sabah semata-mata untuk mewakafkan dirinya ke jalan dakwah. Orang luar datang untuk menyebarkan kalimah Allah di bumi tercinta ini. Ketika dicanangkan akan kemungkinan berpindah ke semenanjung Malaysia, saya berdoa bersungguh di dalam hati. Harap-harap tidak jadi begitu dan saya berharap agar dapat berbakti di negeri ini jua. Negeri tempat saya berteduh, yang sudah sepatutnya sayalah yang lebih berhak membelanya.

Hujan emas di negeri orang, biarlah saya mati di sini!

Semoga separuh masa kedua saya selama tiga tahun setengah yang berbaki itu dapat dioptimumkan dalam mencari kelengkapan juga persediaan. Dengan izin Allah sahaja, misi khairaummah itu akan terlaksana.

Akal perlu disuap dengan ilmu dan pengetahuan, supaya tidak timbul fitnah kurangnya tarbiyyah.

Tubuh perlu dipaksa agar turun padang juga memijak lumpur yang terpalit ke dalam agama, agar tidak dituduh kurang tadhiyyah.

Sedang akademik yang sesinya cukup panjang ketika memasuki clinical years tahun akan datang itu menuntut agar dipelihara dan ditagih semula kecemerlangannya. Ya, cuti pada tahun hadapan kurang sebulan sahaja tempohnya.

Allah jualah yang melapangkan dada hambaNya.

Dan tanggungjawab menggalas jawatan itu akan ditanya kemana hala tujunya. Amanah atau tidak? Bersungguh atau tidak?

Ya Allah, ampunkanlah kami pada apa yang tidak termampu kami melakukannya.

“Ini kita kena ikhlas seja ni. Rezeki itu bukannya dalam bentuk duit saja,” terngiang-ngiang pesanan imam Ukraine itu. Sungguh-sungguh benar apa yang dikata.

Allahlah yang memberi rezeki.

Allahlah yang memberi kuasa.

Allahlah yang melapangkan dada.

Allah jua yang memberi mudarat dan menjadi pemelihara.

Tidak ada lagi ketakutan pada manusia. Pada kesusahan. Pada kemiskinan. Pada kepenatan.


Taqwa itu darjatnya untuk Allah sahaja. Siapakah yang berani menyimpan rasa takut pada manusia dan harta benda sedangkan Allah itu adalah Tuhan yang layak disembah?

Dan apakah kita berasa kemenangan itu akan diberi kepada hamba yang sambil lewa? Ingatkah kita kepada tentera Salahuddin yang tekun bersolat malam itu? Ingatkah kita pada tentera yang membuka Constantinople itu dengan taqwa dan senjata?

Sedangkan kita berasa cukup apa yang ada. Sedangkan kita tidak mahu ditegur untuk mengubah kekurangan. Sedangkan kita sibuk memenangkan pendirian masing-masing.

Malulah menadah tangan pada Yang Maha Kuasa sedangkan diri tidak punya apa.

Perangilah mereka sehingga tidak ada fitnah, dan agama itu semata-mata untuk Dia!

Sumber: http://khayra-ummah.blogspot.com


'Team imam' yang sudi memenuhi hasrat penduduk Kg. Estet merealisasikan solat raya sulung singgah seketika di surau kampung berdekatan.

Menurut ustazah, ramadan dan syawal tahun lepas mereka tertanya-tanya dan tercari-cari mana sudah pelajar-pelajar universiti yang datang dulu.


P/S: Bila lagi kita ke sana?

No comments: