Friday, July 15, 2011

Qiamullail Julai & Rehlah KRU Tuaran 2011


Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya qiamullail Kelab Remaja Ukhuwwah cawangan Tuaran(KRUT) dapat dilaksanakan pada 9-10 Julai 2011 bertempat di Masjid An-Nur, Tuaran. Qiam kali ini bertemakan "Persiapan Menghadapi Ramadhan & Kelebihan Bulan Syaban" yang telah dikupas oleh Cikgu Fairuz yang balik bercuti hujung minggu. Penyampaian yang begitu santai ditambah dengan slot tayangan video membolehkan adik-adik peserta mudah memahami apa yang ingin disampaikan.

Penyertaan kali ini dimonopoli oleh adik-adik KRU Cilik yang begitu bersemanagt dan istiqamah datang Qiam. Tahniah kepada ibu dan ayah adik-adik ini kerana masih memberi kepercayaan kepada pihak penganjur untuk terus berprogram bersama-sama. Sesungguhnya tiada yang lebih bernilai selain ilmu yang ingin disampaikan. Bertepatan dengan motto KRU, "Remaja Hari Ini, Pemimpin Masa Depan" cuba melatih dan mendidik peserta untuk menyerlah dari pelbagai aspek. Juga cuba menempatkan diri seiring dengan arus semasa iaitu arus modenisasi.

Seusai Qiam pagi hari Ahad itu, program diteruskan dengan aktiviti rehlah. Seperti tahun lalu, rehlah kali ini diadakan di Padang Pekan Tuaran yang hanya 3 minit berjalan kaki dari Masjid An-Nur Tuaran. Melatih pelajar dan remaja yang seimbang dari segi rohani dan jasmani seiring tuntutan syarak merupakan objektif utama program Rehlah diadakan. Selain mengeratkan lagi silaturrahim sesama ahli dan masyarakat setempat.

Taman Permainan Tuaran

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan antaranya perlawanan bola sepak bagi Muslimin dan explorace bagi yang Muslimat. Bersebelahan dengan padang Tuaran, terdapat satu Taman Permainan yang menjadi lokasi explorace. Sebanyak 4 checkpoint disediakan dengan 2 checkpoint menguji ketahanan Fizikal dan 2 lagi menguji Mental. Sambil-sambil melayan diri dengan aktiviti, sesi berBBQ turut diadakan. Setelah setengah jam berusaha menghidupkan api arang, akhirnya dapat juga ayam-ayam itu menjadi santapan perut-perut lapar. Mujur ada yang pakar:)



Menghampiri pukul 10.30 pagi,semua peserta bersiap-siap mendengar Tazkirah yang disampaikan oleh Akhi Ajman yang berkisar kepada "Nilai Taqwa". Seterusnya diserikan lagi dengan penyampaian cenderahati dan Majlis Perasmian Penutupan oleh Pengerusi PSS Tuaran, Akhi Kholish. Tahniah kepada adik-adik peserta kerana berjaya melibatkan diri dalam program rehlah kali ke-2 ini.


Syukran diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan program sama ada secara langsung ataupun tidak. Mudah-mudahan redha Allah jualah yang kita harapkan dan semoga kita bertemu lagi pada rehlah yang akan datang, insyaAllah:)

No comments: