Monday, August 24, 2009

KISAH BENAR DARI TUARAN...


-Hidayah Allah bagi hamba yang dikehendakiNya ..

Saya hanya seorang manusia biasa yang ingin melalui hidup ini seperti
Apa yang saya mahukan tanpa ada apa-apa kesusahan. Tapi hidup tanpa pegangan membuatkan saya merasa yang hati saya amat kosong. Islam sebenaryna tidak asing dari hidup saya kerana kedua orang tua saya masing-masing ibu mereka iaitu nenek saya beragama islam.

Tapi oleh kerana nenek(ibu bapa saya) masing-masing tinggal dengan bapa mereka (datuk saya) kerana kedua orang tua mereka (datuk dan nenek saya) berpisah maka mereka lebih terdedah kepada agama kristian tapi tidak islam.

Mungkin Allah sudah tentukan begitu, tapi saya sungguh bersyukur kerana Allah tetap memberi petunjuk dan hidayah kepada saya untuk kembali ke jalanNya. Mungkin Allah telah ada rencana terhadap saya dan ahli keluarga sejak mula lagi. Walau apapun hanya Dia sahaja yang tahu.

Bagi saya kini adalah tanggungjawab saya untuk membawa bersama ahli keluarga saya untuk mengenal Islam dan membawa mereka kembali ke jalan Islam. Walau apapun itu hanya pendapat saya, tapi yang menentukan segalaNya Allah yang Esa.

Soal sejak bila saya mendapat hidayah bagi saya tidak penting tapi apa yang penting bagi saya kini ialah terus berada di jalan Islam . Mengenal lebih dalam tentang Islam dan terus mengharap pintu hidayah yang telah Allah berikan takkan tertutup mahupun terpesong tapi untuk pengetahuan dan pengajaran sesipa yang berminat membaca saya sedia berkongsi.

Pada usia saya 16 tahun bapa saya telah menghantar saya untuk belajar lebih mengenali agama kristian. Tapi tujuan sebenarnya ialah supaya saya dapat dibaptis dan juga penguatan. Sebenarnya saya sendiri tak faham dengan istilah-istilah ini dan juga kepentingannya. Tetapi pada ketika itulah saya mula berfikir dan mengkaji tentang agama kristian.

Dan saya mula membezakannya dengan agama Islam tetapi bukan agama lain, saya sendiri tak pasti. Walaupun pengetahuan saya tentang Islam ketika itu tidak banyak tetapi saya berjaya menyangkal
semua kenyataan tentang agama kristian walau dengan sedikit pengetahuan saya tentang Islam..

Salah satu yang menjadi kekeliruan saya ialah mengapa kitab injil ada dua edisi, iaitu ‘kitab perjanjian lama dan kitab perjanjian baru’? Apa kepentingan kedua kitab ini???

Saya tak boleh berkata banyak tentang kandungan kitab injil, kerana saya sendiri tidak berminat untuk membacanya. Selain mengenai kitab, juga tentang umat kristian zaman ini yang lebih mengutamakan dan mengagungkan Nabi Isa kerana pengorbanannya berbanding menyembah Allah dan mengakui kebesaran Allah. Sesungguhnya Allah yang berkuasa menentukan segalanya dan NabiNya hanya pesuruhNya sahaja.

Dalam kitab injil perjanjian lama ada menyatakan dilarang sama sekali menyembah berhala. Berhala ialah patung yang dibuat manusia. Tetapi umat kristian akhir zaman ini bukan sahaja membuat patung yang berupa Nabi Isa tetapi juga menyembahnya. Hal inilah yang betul-betul menganggu hati dan fikiran saya dan menyakinkan saya kristian bukan agama yang benar dan agama kristian juga tidak dapat menjawab mana-mana soalan yang kadang kala bermain difikiran saya.

Dan kini saya senang dan gembira dengan pilihan saya. Tapi saya tahu ini hanyalah permulaannya saja kerana masih banyak lagi yang saya perlu hadapi. Antaranya tentangan ibu bapa saya sendiri, seterusnya kawan baik saya sendiri serta ahli keluarga mereka. Tapi saya tak kisah semua itu sebab saya tahu saya tetap perlu hadapinya kerana saya sudah memilih jalan ini. Lagipun saya masih ada kawan-kawan yang sentiasa menyokong saya.

Salah satunya pernah bagitau, saya mungkin akan kehilangan mereka yang saya sayang jika saya memilih jalan ini tetapi sentiasa ingat bahawa Allah akan sentiasa bersama siapa sahaja yang bersendiri dan saya tak perlu takut tetapi sebaliknya terus percaya terhadapNya. Setakat ini hampir 3 tahun dan hampir semua soalan-soalan yang bermain di kepala saya telah terjawab.

Saya masih dalam proses mendalami Islam dan cuba melakukan ibadat dan apa yang disuruh dalam Islam seperti menunaikan sembahyang fardhu. Bagi saya hidup tanpa solat betul-betul tak bermakna. Dengan solat, hidup saya lebih bermakna kerana ianya mengajar untuk mengingat Allah pada setiap ketika dalam apa jua saya lakukan. Apapun saya hanya manusia biasa sahaja yang most of the tym selalu saja solat yang saya tunaikan tidak cukup sempurna dan tak khusyuk. Dan selalu juga solat dilengah lengahkan dan ditunaikan di hujung-hujung waktu.

Satu lagi kemestian seorang muslimat ialah menutup aurat. Walaupun begitu saya masih berusaha ke arah itu. Saya juga merasakan hal menutup aurat ni tak patut diambil lewa , sesungguhnya Allah pasti menjaga diri kita jika kita sendiri pandai menjaga dan menghargai diri kita sendiri.

Sebelum mendapat hidayah saya sendiri tidak mengalami apa-apa mimpi seperti orang lain. Tapi yang mengalami mimpi ialah ahli keluarga saya sendiri. Contohnya bapa saya dia bermimpi saya pulang dari satu tempat dengan memakai kain telekung.

Begitu juga adik perempuan saya (satu-satunya yang tahu mengenai hal saya berminat dengan Islam) juga bermimpi hal yang sama . Saya sendiri tak pasti dengan maksud mimpi tersebut tapi yang saya pasti saya tekad dengan pilihan yang saya buat....!!

Tuesday, August 18, 2009

Khemah Ibadah Sekolah Kebangsaan Pekan Tamparuli



Alhamdulillah, pada 14 hingga 16 Ogos lepas, PSS telah bersama-sama pelajar SK. Pekan Tamparuli dalam program Khemah Ibadah. Seramai 107 orang dari kalangan murid tahun 2 hingga tahun 6 telah menyertai program tersebut. Manakala tenaga fasilitator terdiri daripada ahli Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) dan beberapa orang pelajar UMS.

Antara aktivti yang dimuatkan sepanjang program ini ialah ceramah Rukun Solat, Slot Kenal Makmum Makmum Masbuq dan Muwafiq, Qiyamullail, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), selain sesi pembentangan dan Riadah Islami.

Sungguh, melentur buluh biarlah dari rebung. Program seumpama ini wajar diteruskan dan dicontohi sekolah mahupun surau-surau untuk didedahkan kepada anak-anak muda remaja. Manakan tidak? Pendedahan ilmu dari awal ini sahajalah yang paling tidak, menghadapi serangan psikologi dan budaya yang menjajah masyarakat kita tika ini.

Semoga rahmat Allah akan terus bersama-sama kita agar usaha mendididk dan melahirkan da’ie seumpama ini dapat diteruskan.

Friday, August 14, 2009

PENGURUSAN JENAZAH, TUARAN BEACH RESORT



Pada 13hb Ogos 2009, penulis bekesempatan menghadiri satu program pengurusan jenazah yang dianjurkan oleh GEMS(Graduate Employability Management Scheme), bertempat di tuaran Beach Resort. bermula dari jam 10.30 pagi hingga 5.30 petang.

Pengurusan jenazah ini diadakan khas untuk peserta Muslim GEMS. Semoga program sebegini dapat menjadi wadah untuk membukakan hati-hati yang membatu. seterusnya dapat mengislahkan umat Islam.

Apa yang menarik, terdapat juga beberapa orang peserta dari kalangan non-muslim. Dan salah seorang dari mereka bersetuju menjadi jenazah untuk dikafankan. Mudah-mudahan pengalaman mereka mengikuti pengurusan jenazah dan menjadi jenazah menjadi asbab mereka ingin mengenali Islam dengan lebih mendalam.

p/s: PSS bila lagi nak buat pengurusan jenazah terbuka kepada muslim dan non-muslim di Tuaran???

Sunday, August 9, 2009

H1N1

"Ustaz, saya tak puas hati betul dengan keluarga si X, dah tahu dia tak sihat janganlah datang ke program kita, sekarang saya pun dah selsema ini" Rengus seorang di klinik, kebetulahn bertemu seorang ustaz.

"Heh, sebab anak kamu, pembawa wabak, sekarang ni satu pertiga seokolah kita sudah kena selsema babi, lain kali kalau dah ada symptom, janganlah datang ke sekolah!" kata seorang guru dengan wajah menyinga kepada bapa seorang murid.

"Alahai macam mana ni, tak boleh diri dekat sangat dengan dia ni, dia tengah selsema rupanya, nanti kalau aku jarakkan diri dia terasa pulak" Monolog hati seorang apabila kawannya mengatakan dirinya sedang selsema dan punyai symptom selsema babi.

Itu mungkin beberapa dialog yang semakin popular di ketika ini. Jika tidak dilafazkan sekalipun, ia mungkin sahaja bermain di minda dan hati. Bolehkah kita sedemikian? Apa lagi senarai perlu faham, perlu dan jangan buat di ketika ini?

Wabak swine flu atau selsema babi semakin dahsyat menyerang manusia. Sebelum ini manusia diserang oleh krisis ekonomi hasil tangan mereka sendiri, kali ini krisis bersambung dan berganda dengan serangan krisis kesihatan, juga hasil tangan manusia.

Manusia yang kerap bertukar menjadi bongkak dan angkuh dengan pangkat, kuasa dan harta kini mula menjadi kecut dan takut. Di United Kingdom, pihak kerajaan dan media sering mewarwarkan bahawa swine flu tidaklah berbahaya, ia juga digambarkan sama seperti selsema biasa seperti selsema di musim sejuk yang akan kebah dalam beberapa hari. Ia dikuatkan lagi apabila semua individu yang meninggal dunia akibat swine flu di sini, mempunyai pelbagai penyakit serius yang lain. Keadaan ini menjadikan rakyat UK juga biasa dan hampir tiada dilihat sesiapa memakai ‘facemask' di jalanan sepertimana yang terdapat di Mexico dan Malaysia.




SELSEMA BABI DI UNITED KINGDOM

Namun beberapa hari ini kerisauan sudah mula menjengah di minda kebanyakan rakyat UK akibat kematian seorang kanak-kanak yang sihat akibat swine flu. Ia juga sudah mula merebak dengan makin meluas di United Kingdom sehingga dijangkaan di akhir bulan Ogos, dijangkaan lebih 100,000 orang akan menghidapinya setiap hari.

Hari ini, jumlah mereka yang selsema dan disyaki swine flu di UK semakin bertambah, warga Malaysia di Leicester khususnya dan UK umumnya, juga tidak terlepas dari symptoms swine flu. Semua mula berasa risau tetapi jika sebuah negara maju seperti UK dan USA serta Eropah juga masih terkial-kial, tidak mempunyai penyelesaian rawatan, bagaimana pula nasib negara sedang membangun seperti Malaysia atau Negara-negara lain yang masih mundur.

Media di UK mewarwarkan bahawa dijangkakan vaksin khas untuk virus ini akan berjaya dihasilkan sekitar bulan hadapan. Vaksin ini juga diwartakan akan diberikan kepada seluruh penduduk United Kingdom, dimulakan dengan warga kesihatan di hospital, diikuti golongon berisiko tinggi seperti pesakit athma, diabetes, jantung dan sebagainya. Namun begitu, semuanya masih kabur dan tidak pasti.

Ubat khas seperti anti viral seperti Oseltamivir (Tamiflu) dan Zanamivir (Relenza) hanya boleh diperolehi oleh mereka yang telah menjalankan ujian darah dan disahkan memang dijangkiti swine flu, namun demikian di UK, ujian tersebut sudah tidak lagi relevan kerana jumlah pengadu sudah terlalu ramai. Malah penghidap symptom juga tidak digalakkan hadir ke GP lagi, cukup sekadar kuarantin diri di rumah dan mengubat diri sendiri.

PENGALAMAN KE KLINIK

Pengalaman beberapa warga Malaysia mempunyai symptoms swine flu ke GP (Klinik awam) tidak begitu menggalakkan, sambutan para doktor juga amat dingin malah doktor kelihatan amat bimbang dan mengarahkan segera pengadu untuk keluar melalui pintu lain dengan alasan agar tidak bercampur dengan orang ramai.

Ramai yang kurang senang dengan keadaan ini, tiada ubat yang diberi oleh pihak doktor, tiada prescription untuk antiviral, tiada ubat batuk, dan sebagainya, hanya nasihat untuk mempertingkatkan penjagaan kebersihan, mengunci diri di dalam rumah dan minum air banyak.

Ramai yang sedang menghadapi selsema, batuk dan demam di United Kingdom ketika ini, tetapi kebanyakannya tidak pasti adakah ia swine flu atau tidak, kerana ia benar-benar seperti selsema biasa, yang mana ia biasanya berulamkan batuk dan sekali sekala pening kepala akibat membuang hingusan dan demam singkat. Padahal semua yang disebut tadi adalah symptom-simptom selsema babi, itulah juga info yang terpapar iklan dan poster symptoms swine flu, ia juga tidak jelas.

SENARAI PERLU DAN JANGAN

Apa yang perlu dilakukan kini? Saya bukan doktor namun beberapa nasihat berikut mungkin boleh difahami dan dihayati sebaiknya, moga kita dapat memanfaatkkanya:-

1. PENYAKIT BERJANGKIT & IMANI QADA' QADAR.

Perkara utama bagi semua umat Islam, jangan sesekali lupa atau ‘terlupa' bahawa semua bakteria, virus atau apa jua makhluk yang membawa mudarat ini terlepas dari kekuasaan Allah swt.

Jikalau kita menelurusi hadis Nabi s.a.w, kita akan dapati anjuran Nabi s.a.w untuk berhati-hati apabila bercampur dengan pesakit kusta dan sopak. Sudah tentu anjuran Nabi itu terpakai buat semua jenis penyakit yang diiktiraf boleh merebak dan ‘berjangkit'. Hadis berikut amat jelas :-

لا عدوى ولا طيرة ولا هامة قال له رجل : أرأيت البعير يكون به الجرب فتجرب الإبل ، قال : ذاك القدر ، فمن أجرب الأول ؟

Ertinya : Tiada jangkitan, tiada sial dan tiada hammah (satu kepercayaan jahiliyyah iaitu burung yang kononnya tercipta dari tulang mayat dan hidup lalu membawa sial kematian), maka seorang lelaki berkata : Apa pandanganmu jika seekor unta yang mempunyai penyakit lalu terkena unta yang lain?. Nabi menjawab : Itulah taqdir Allah, (cuba fikirkan), dari mana pula yang pertama mendapat penyakitnya? ( Riwayat Ahmad )

Allah swt mengingatkan :-

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Ertinya : Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. ( Al-Hadid : 22 )

Berbekalkan ayat dan hadis di atas, Islam mengajar kita agar melihat ketentuan Allah swt sebagai asas, sebelum melihat kepada soal sebab dan musabbab atau sunnatullah (hukum alam).

Walaupun demikian, Nabi s.a.w juga mengingatkan :

فِرَّ من المجذوم فِرارَك من الأسد

Ertinya : Larilah (jauhilah) mereka yang berpenyakit kusta sebagaimana kamu lari dari singa" ( Riwayat Al-Bukhari)

Manakala di dalam sebuah hadis lain :-

لا يُورِد مُمَرَّضٌ على مُصَحٍّ

Ertinya : Janganlah orang yang sakit bercampur dengan mereka yang sihat (Riwayat Muslim)



Mungkin ada yang terfikir wujudnya pertentangan makna di antara hadis berkenaan qadar Allah swt dan saranan menjauhi pesakit berjangkit.



Hakikatnya, tiada kontradiksi di antara satu sama lain, perlu difahami bahawa orang Arab di zaman Jahiliyah percaya tubuh orang sakit akan automatik memberi kesan buruk yang pasti kepada tubuh orang yang sihat tanpa mengira sebarang sebab atau taqdir[1]. Atas sebab itu hadis menyebut hadis pertama, namun dalam masa yang sama tidak menafikan jangkitan dari berlaku. Oleh itu, dalam konteks ketiga-tiga hadis di atas, mesej yang disampaikan oleh baginda Nabi s.a.w adalah :-



· Menafikan kepercayaan silam bahawa tubuh orang sakit PASTI AKAN memudaratkan yang sihat, justeru di dalam Islam, tidak boleh diiktikadkan sedemikian.

· Membetulkan kefahaman semua bahawa hampir setakat mana pun kita dengan mereka yang sakit berjangkit, semua masih tertakluk kepada kekuasaan Allah swt untuk mendatangkan sakit itu kepada kita atau tidak.

· Membetulkan kefahaman ummat bahawa sakit yang mungkin kita alami tidak semestinya datang dari orang sakit yang kita temui. Justeru, jangan mula salah menyalahkan di antara satu sama lain.



Hasilnya, Islam tidak menafikan wujudnya kebolehjangkitan tetapi hadis itu disebut dalam konteks dan objektif yang disebutkan di atas. Kebolehjangkitan adalah termasuk di dalam perkara sunnatullah (hukum ketetapan alam), cuma umat Islam perlu memahami ia tertakluk di bawah izin Allah swt. Pastinya, di musim berlakunya perebakan wabak seperti selsema babi ini, tidak mudah untuk mana-mana individu yang terkena dan belum kena untuk meyakini kuasa Allah. Itulah sebenarnya salah satu ujian Allah swt untuk hambaNya, mendatangkan bala sebagai ujian, tapisan iman serta mengingatkan hamba kepada kekuasaan penciptaNya. Hanya merkea yang beriman mampu melakukannya. Semoga kita terdiri dari golongan itu.



2) JANGAN TUDUH SESIAPA SEBAGAI PUNCA

Jangan menuduh sesiapa sebagai penyebab anda terkena selsema ini, jangan juga marah kepada sesiapa. Ini kerana kita tidak akan mampu mengetahui secara pasti dari manakah kita mendapat virus tersebut. Ini kerana virus selsema boleh sahaja datang dari tombol pintu pejabat yang kita pegang, pintu kereta, teksi, mouse computer, key board dan sebagainya. Mungkin terdapat indidivdu lain yang bersin lalu tangannya memegang keyboard, pintu atau berjabat tangan dengan anda sebelum tangannya benar-benar bersih dari virus.

Mungkin sahaja kita ingin meyalahkan seseorang yang bersin di hadapan kita atau duduk di sebelah orang selsema di dalam train atau bas, namun diingatkan sekali lagi, kita sama sekali tidak boleh pasti, kita mendapat selsema dari orang terbabit, besar kemungkinan virus itu telah kita dapati sejak di stesyen bas lagi. Perlu difahami juga, jarak tebaran germ dari seorang yang bersin secara terbuka adalah sekitar 10 kaki jaraknya. Justeru, JANGAN SALAHKAN SESIAPA dan yakinlah ia takdir Allah swt untuk menguji kita.



Cuba lihat petikan video ini melalui youtube:

H1N1


3. ELAK KELUAR DAN MASUK DARI KAWASAN SESAK DAN WABAK



Elakkan bercampur di temat awam tanpa keperluan yang mendesak dan adalah baik jika dapat sentiasa membersihkan setiap apa yang ingin kita pegang di temat awam. Mungkin sahaja semuanya telah dicemari oleh virus selsema babi tadi dan sedang menunggu orang menyentuhnya sahaja.

Saranan pencegahan ini sesuai dengan hadis di atas dan juga tindakan Nabi yang tidak berjabat tangan dengan seorang lelaki kusta dari rombongan Bani Thaqif di ketika sesi berbai'ah (janji taat setia). Yangmana Nabi saw diriwayatkan berkata yang ertinya : "Pulanglah, kamu telah pun dikira berbai'ah" (Rujuk Sohih Muslim)

Nabi s.a.w :-

إذا سمعتم بالوباء بأرض فلا تقدموا عليه ، وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تخرجوا فرارا منه

Ertinya : Apabila kamu mendengar terdapat wabak di satu kawasan, janganlah kamu memasukinya, dan apabila kamu wabak berlaku di satu kawasan, kamu pula berada di sana, janganlah kamu keluar dari kawasan tersebut untuk melarikan diri. ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mungkin akan adayang tertanya-tanya mengapa dihalang mereka yang sihat untuk kelaur dari kawasan wabak, apakah justifikasi arahan nabi sejak 1400 tahun yang lalu ini. Jawapan diberikan oleh Dr Muhammad Al-Bar (merupakan seorang doktor pakar perubatan dan ahli Majlis Fiqh OIC), beliau menegaskan terdapat individu yang tidak jatuh sakit dengan sesuatu jenis virus, manakala sebahagian lain jatuh sakit. Mungkin sahaja yang keluar ini sihat, tetapi tubuhnya sedang membawa virus dari kawasan wabak, hasilnya, ketibaannya di tempat baru menyebabkan penyebaran berlaku kepada penduduk setempat dan pasti akan ada sebahagian yang boleh jatuh sakit dengan virus tersebut.

Selain itu, kemungkinan juga individu yang sihat ketika keluar itu, belum terkesan lai dengan virus yang berada di dalam tubuhnya. Ini kerana sebahagian virus memerlukan beberapa masa dan tempoh untuk membiak dan mengganggu kesihatan mangsa. Hasil dari semua kemungkinan ini, Nabi s.a.w sejak beribu tahun silam, tanpa ilmu mikrobiologi telah mampu memberikan satu peraturan yang bertepatan dengan penemuan sains. Itulah ilmu yang datang dari pencipta sekalian alam, Allah swt.

Dengan fakta ini, kita tidak akan sama sekali mampu meneka siapa yang menjadi punca pemindahan virus kepada tubuh kita, kerana bukan sahaja individu yang sedang sakit dan selsema sahaja yang berpotensi, malah mereka yang sihat juga terdapat kemungkinan menanggung virus yang sama dan memindahkannya kepada kita melalui sentuhan dan sebagainya. Itulah takdir namanya dan kita diarah untuk berusaha sedaya mungkin dan redha serta sabar apabila diuji.



3) SEKATNYA DARI MENJADI PENYEBAR



Jikalau ditakdirkan kita tergolong dari mereka yang sedang diuji dengan selsema babi ini, pastikan sedaya upaya kita tidak menjadi sebab untuk merebaknya virus terbabit di kalangan awam. Justeru itu:-

· Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau kain semasa bersin.

· Sentiasa basuh tangan selepas memegang hingus, hidung atau selepas bersin di tangan, gunakan sabun atau apa-apa jenis sabun antibacteria.

· Kurangkan berasak-asak di tempat awam, kerana peluang pemindahan virus boleh berlaku dengan lebih besar. Namun takdir Allah mendahului segala-galanya, jika telah ditakdirkan, seseorang yang mengunci diri di dalam gua batu sekalipun pasti akan kena, mungkin melalui virus yang dibawa di atas badan semut yang memasuki gua itu!.



Kesemua tindakan dan usaha pencegahan adalah wajib kita lakukan menurut hukum Islam, kerana menyebabkan kemudaratan kepada orang lain adalah diharamkan.



4) CADANGAN PEMULIHAN : SARANAN DOKTOR DAN USTAZ

Bagi tujuan pemulihan, perkara biasa yang disarankan oleh para doktor adalah :-

Makan vitamin C dengan kadar lebih banyak dari biasa.
Minum air dengan kuantiti yang banyak, lebih banyak dari biasa.
Boleh mengambil (kecuali kanak-kanak bawah 5 tahun) ubat demam atau batuk yang biasa atau juga paracetamol dan pain killer seperti ibuprofen untuk melegakan beberapa symptom. (Rujuk doktor anda terlebih dahulu).
Ambil cuti dan berehat sehingga sembuh.


Ditambah pula dengan nasihat dari para ilmuan Islam:


Yakinkan diri dengan kesembuhan, sebutkan kata-kata yang baik untuk diri seperti yakin diri akan sembuh segera dan sebagainya. Selain itu, jangan pula mencerca dan memaki hamun semasa sakit. Hal ini disarankan melalui hadis :-
لا عدوى ولا طيرة ، ويعجبني الفأل قالوا : وما الفأل ؟ قال : كلمة طيبة

Ertinya : Tiada jangkitan (tanpa izin Allah) dan sial, dan aku suka kepada sikap Al-Fa'l, Sahabat bertanya : "Apakah Al-Fa'l ?"

Nabi menjawab : "Kalimah yang baik (sangka baik untuk sembuh)

Berdoa agar beroleh kesembuhan dan doakan orang lain agar turut kuat dan sembuh dari jangkitan selsema babi ini.


Bersangka baik dengan Allah dan serahkan urusan kepada Allah swt. Iaitu jikalau telah terdapat ahli keluarga yang dijangkiti dan amat sukar untuk mengelakan diri dari bercampur dengan mereka. Dirwiyatkan di dalam sebuah hadi, Nabi meletakkan makan di dalam satu bekas bersama pesakit kusta lalu berkata :-
كلْ باسم الله توكلاً على الله وثقة بالله

Ertinya : Makanlah dengan bacaan Bismillah, bertawakkal kepada Allah dan berikan kepercayaan ( sangka baik) kepadaNya: (Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah, namun menurut analisa, hadis ini dinilai lemah)



Jangan sesekali putus asa jika ditimpa penyakit ini.
Firman Allah swt :

وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ

Ertinya : Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa.

Sekadar itulah yang dapat dikongsikan buat masa ini, semoga semua kita dapat menghadapi saat sukar ekonomi dan kesihatan ini dalam keadaan yang jitu dan teguh iman kepada Allah swt.

Akhirnya hayatilah kata nabi ini

عجبا لأمر المؤمن ، إن أمره كله له خير ، وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن ، إن أصابته سراء شكر وكان خيرا له ، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرا له

Ertinya : hebat dan amat mengkagumkan sifat orang beriman, semua urusannya memberinya kebaikan, dan tiada perolehinya kecuali dia adalah mukmin, iaitu apabila ditimpa kebahagian dia bersyukur, maka ia perolehi kebaikan (hasil syukurnya dia), dan apabila ia ditimpa keburukan, ia sabar dan baginya kebaikan juga (Riwayat Muslim)

Sebarkanlah artikel ini di merata tempat, semoga ramai beroleh manfaat dan terpandu untuk menentukan iman, minda, hati dan sikap yang betul.

Sekian


dipetik daripada:

Zaharuddin Abd Rahman

Saturday, August 8, 2009

Karya dari penjara...

SAYUNYA SUARA AZAN

Pagi, petang mencari rezeki… penat letih tak terkira… senja menyusul meniti waktu. Warga setawa mula kembali ke sarang dan alam pasrah menerima kehadiran malam. Kemerahan mega di kaki langit disambut dengan keriuhan kicauan tiung yang kelelahan tetapi riang setelah seharian mencari makan. Hening sejenak … Azan berkumandang bertingkah-tingkah dari qariah yang berhampiran menandakan matahari sudah terbenam. Maghrib, Masjid, Musolla adalah maujud dan isyarat yang sentiasa sinonim dengan saat itu. Di rumah Fahmi juga, laras kesyahduannya menerobus masuk melalui jendela.

Seakan tersapa oleh bicara si tiong tadi, mengumpat dan mengejek manusia yang masih bergelandangan. Nilai apakah yang masih tertinggal dari watak mereka itu, dalam waktu senja begini masih ada yang berlompatan di gelanggang takraw. Atau, apakah mereka telah kehilangan segan dengan Tuhan. Atau, sekurang-kurangnya, malu kepada si Ah Hock yang senja begini akan bersegera menutup gerai sayur dan bunganya untuk pulang ke rumah di kampung sebelah.

Walaupun begitu masih ada dari kalangan mereka yang masih ada beringat untuk mengagungkan Tuhan.

“Mari nak, Tuk pimpin agar jangan sampai tersepit tangan di muka pintu”Hati-hati dan akur anak kecil itu mengekori datuknya melangkah masuk menaiki tangga masjid yang sederhana besarnya. Ia tersenyum riang, lari sejenak dari keserabutan rumahnya. Sejenak pula bebas dari gangguan abangnya yang suka membulinya. Sementara kakaknya pula asyik memerap di bilik, bercinta-cintaan dengan telefon yang entah siapa dihubunginya saban hari. Fahmi, seorang budak berumur tujuh tahun yang sentiasa bosan untuk berada di rumah. Ayah dan ibunya pula masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Sebab itu ia lebih senang menemani datuknya ke masjid ini. Disinilah ia dapat merasakan semacam satu ketenangan, yang ia sendiri tidak memahaminya. Tetapi ia suka sekali. Ia sentiasa ternanti-nantikan senja. Azan maghrib dan masjid adalah kerinduannya saban waktu.

Sebelum itu… Acapkali diperhatikan oleh datuknya, Lebai Omar, akan watak“sunyi”cucunya yang seorang itu. Fahmi lebih gemar menyendiri. Di fikirnya benar-benar. Fahmi tidak seperti abang dan kakaknya yang dua orang itu. Mungkin, Fahmi sudah didorong nalurinya sedemikian oleh Allah, sedangkan rambutan setangkai tak sama bentuknya.. mungkin ia boleh terlibat juga membantu mewarnainya.

Tetapi bagaimana?…

Lantas suatu hari… “Fahmi, mari kita berjalan-jalan”…ajakan mesra daripada Lebai Omar . Dilihatnya Fahmi termanggu sebentar.”Tak mahu.. hari dah nak senja”.. Fahmi menjawab ringkas.Kelihatan oleh Lebai Omar, keadaan cucunya yang asyik memerhatikan kemerahan mega di dada langit itu. Ia terus mencuba untuk mencungkil punca sebenar cucunya bersikap sedemikian. Mungkin ia maklum bahawa waktu begini, di saat matahari jatuh, kanak-kanak ada yang keluh kesah menanti ketibaan malam yang gelap.” Kenapa dengan senja”, sambung Lebai Omar lagi. “Fahmi lebih senang melihat awan merah di kaki langit mendengarkan azan.” Sejuk hati seorang datuk, apabila mendengarkan jawapan tersebut. Rupanya azan dan senja yang menjadi satu perkara mainan Fahmi. Lantas teringat cerita orang tua-tua bahawa di waktu senja adalah masa pertukaran waktu yang agak ganjil dan kadangkala mewujudkan peristiwa yang agak aneh sekali. Tekadnya kerana senja inilah makna ia akan memperkenalkan satu suasana yang baru kepada cucunya, supaya ia keluar dari kesunyian dan kebosanan. Berhijrah ke dunia yang kudus dan tenteram.”Fahmi dengarkan sunguh-sungguh azan di hujung sana”. Lalu diterangkan lebih lanjut makna yang lahir dari laungan azan berkenaan. “Apakah yang Fahmi rasakan?” Soalnya kemudian.

“Selalunya Fahmi rasa sedih”. “Sedih!.. kenapa begitu. Bukankah azan itu indah sekali.Jika di tv ada azan, di radio ada azan.. di sana pun ada azan.”Lebai Omar pun mencelah.”Fahmi sedih apabila mendengarnya.Ia sayup dan jauh dan jauh sekali. Senja begini, ayah dan ibu masih dengan kerja.Malam nanti baru balik . . dah tu terus tidur. Abang dan kakak asyik dengan hal yang itu sahaja.Fahmi bertemankan suara azan yang kedengaran itu, meskipun Fahmi tidak mengeri apa-apa. Yang anehnya senja begini, suara azan itu diselang seli dengan keriuhan kicauan tiong yang pulang ke sarang. Kata cikgu, semua burung itu penat bekerja dan balik ke sarang berjumpa anak dan isterinya. Bercerita dan bercerita tentang peristiwa dan kehidupannya. Riang dan seronok … Fahmi pula…!

“Oh ayah dan ibu. Kenapa tinggalkan Fahmi bersendirian saban hari”. Tangis Fahmi sambil diperhatikan oleh datuknya.Lantas dipujuk datuknya dengan penuh hiba.

“Sabar Fahmi.. sabar”, hanya itulah kalimah yang terkeluar daripada mulut Lebai Omar. Sama sekali tidak diduganya bahawa cucunya sudah sekian parah menanggung penderitaan kekeliruan dan kesunyian. Azalina dan Johan, apa sebenarnya yang telah terjadi. Tidakkah kau berdua menyedari betapa beratnya tanggungan anakmu itu. Gerutunya dalam hati. Ya Allah …Ohh.. Begitu permulaan kisahnya. Ditinggalkan ibu dan bapa, Keremangan senja, kicauan burung, kesayupan suara azan, kebosanan yang terpendam kukuk dalam hati cucunya itu yang menyebabkan ia lebih terpendam.

Fahmi, kau terlalu kecil untuk memahaminya. Rupanya kau menderita kekosongan jiwa. Oh.. Tuhan Rabbul Jalil, rupanya anak sekecil ini juga sudah mengerti erti kehilangan dan kekeliruan senja. Lagi sekali ia seakan merasa kesal dengan sikap anak dan menantunya yang saban hari mengejar kebendaan,sehingga terlupa memerhatikan Fahmi, menjalani kehidupan di zaman kanak-kanaknya. Mungkin ia boleh berperanan. Bagaimana? Sayunya azan .. sayunya lantaran menyusupnya matahari melabuhkan diri di pelabuhan malam. Dikala ia selesai menunaikan solat maghrib pada senjanya, ia lantas berdoa agar diberikan taufik dan hidayah semoga dapat memulihkan sinar keceriaan di hati cucunya Fahmi.

Teringin ia memperkenalkan satu suasana yang baru kepada cucunya itu. Membawanya menyambut lafaz-lafaz azan yang berkumandang dan bermain di dalam taman kecantikannya, ketenangan. Suara hatinya seakan berkata… buatlah sesuatu yang boleh meriangkan hati, mengisi kekosongan jiwa tadi. Ia bukannya payah tetapi bukan juga mudah. Ia masih kanak-kanak .

Dunianya pula diisi dengan rona kehidupan moden dan mewah dan serba “tidak kisah” keluarganya. Mungkinkah……..mungkin juga ia boleh berperanan menerangkan perkenalan yang akrab dan bersusila sekali.

Menyambut riang kemerahan mega di dada langit. Mudahkan … suatu hari ia bertemu ibunya Fahmi,anaknya sendiri, Azalin, meminta izin untuk membawa cucunya ke masjid di hujung sana. Anaknya itu hanya membisu, membenarkan jauh sekali. Diam seakan ada batu yang tersekat di ruang tengkoraknya.

Lama ia menunggu jawapan dari anaknya. Ia terasa asing diperdiamkan begitu. Akhirnya, dikatakan cucunya itu masih kecil dan beberapa kalimah yang membosankan telinga tuanya. Tewas ia kali ini.

Perbincangan itu tinggal kosong. Ia terasa semacam disingkirkan oleh anaknya, seorang pegawai kerajaan yang berpangkat juga… berjaya juga. Terasa sekali ia akan ketinggian langit kehidupan telah mengubah kehendak dan fitrah naluri anaknya. Esoknya ia berbual dengan Johan menantunya pula, bapa si Fahmi. Bercerita secara orang tua dengan hajat yang besar seperti semalam senada dengan pertemuannya dengan Azalina anaknya .Menantunya Johan juga membisukan diri seribu bahasa. Terkunci mulutnya.

“Ohh… Azalina dan Johan sudah terlalu jauh berubah rupanya”, keluhnya menikam menusuk dalam kalbunya seperti duri yang mencengkam daging-daging sehingga tersiat dan terobek. Sebenarnya dunia ini yang sudah berubah. Melupakan azan dalam keadaaan bersendirian di alam nyata.Azan masih berkumandangan tetapi ia telah disepikan oleh manusia yang semakin kosong jiwanya.

Sebab itulah ia hanya tersahut oleh si tiong yang bergelandangan dan si pipit yang terbang rendah di permatangan desa sana. Di sini semua telah berubah. Di mana lagi……….Mengalahkan aku, bisik hatinya. Masakan perkara sebegini mudah, boleh menjadi ribut senja yang berpanjangan. Adakah ia orang yang terasing…Alasannya,adakah ia sudah terlalu tua untuk membelai Fahmi. Dipujuknya bersungguh-sungguh buat berkali-kali semahu-mahunya sehingga akhirnya menantunya dan anaknya menganggukkan kepala dengan

kerelaan melepaskan anaknya menurutinya, menyahut lembaran azan dihujung sana. Alhamdulillah…..

Semalam…….”Fahmi, petang nanti ikut atuk, kita ke tempat di mana azan dilaungkan. Kita sambut ia..kita dakap ia.. di rumahnya, di masjid”. Dengan muka berseri dan bersungguh sekali ia menghulurkan tangannya untuk di sambut Fahmi. Dalam kesyahduan waktu begitu, dirasakan kekosongan dan kemarau semalam akan digenangi limpahan air suci kemurniaan jiwa esoknya. Dan katanya, “Fahmi tak usah khuatir, Atuk ada dan Atuk dah cakapkan dengan ayah dan ibu. Mereka mengizinkan”.

Senja itu terbukalah minda hati cucunya. Bercahaya dilihat cucunya apabila mula, kali pertama mengikutinya ke tempat yang selalu didengarkan tetapi baru kali itu berpeluang menjejakinya sendiri. Rupanya kesayupan azan keheningan senja dan kemerahan meganya membawa seribu erti bagi mereka yang hendak memikirkannya. Begitu rupanya orang berazan. Sayunya.. indahnya. Dilihat orang beramai-ramai ke rumah Allah, memakmurkan dan memeriahkan suasana, segembira si tiong yang menerima kehadiran malam. Ia belajar menerimanya dengan menyambut azan, bersolat dan beriktikaf di masjid bersama-sama .. bergembira….Tenang sekali. Berbeza dengan keserabutan yang ia alami selama ini. Allahuakbar … Assalamualaikum…, disudahi, didengari bersumbat antara iman, datuknya dan kawan-kawannya yang lain. Riuh sekali..riang sekali.. sangat damai. Sayunya azan rupanya terselit ketenteraman, kesucian dan kekuatan untuk seorang anak kecil seperti Fahmi menuju rasa bertuhan…

Har
Penjara Miri, Sarawak

Wednesday, August 5, 2009

SOALAN DARI BUKAN ISLAM UNTUK ORANG ISLAM, TENTANG AGAMA ISLAM

Sewaktu Nabi Muhammad saw wafat, telah disempurnakan agamamu (Islam).

Semua persoalan akan ada jawapannya, hanya ilmu di dada penentu jawapan apa yang perlu diberi.

1) Nama Nabi Isa as disebut 25 kali dalam Al-Quran, tetapi berapa kali nama Nabi Muhammad saw disebut dalam Al-Quran?
Nama Nabi Muhammad saw hanya disebut 5 kali sahaja di dalam Al-Quran. Manakala nama Nabi Isa as disebut 25 kali. Mengapa? Kerana Al-Quran diwahyukan pada Nabi Muhammad saw, sebab itu nama Nabi Muhammad saw jarang disebut. Al-Quran diturunkan bukan semata-mata untuk memapaparkan kisah Nabi Muhammad saw tapi adalah sebagai panduan perjalanan hidup umat Islam.

2) Nama Nabi Isa disebut lagi banyak dari nama Nabi Muhammad saw dalam Al-Quran, tentu sahaja Nabi Isa lebih hebatkan?
Soalan sebaliknya, dalam Bible, nama syaitan lebih banyak dari nama Nabi Isa, jadi siapa lagi hebat? Syaitan @ Nabi Isa? Sebenarnya Allah tidak bezakan tentang kehebatan nabi dan rasulNya. Walaubagaimanapun, Allah Maha mengetahuinya.

3) Dalam Islam percaya yang Nabi Isa as diangkat ke langit, sedangkan Nabi Muhammad saw wafat. Jadi, bila Nabi Isa as dibawa ke langit, tentu sahaja nabi Isa itu Tuhan kan?
Dalam banyak2 kaum, hanya kaum Nasrani sahaja yang telah salah anggap tentang nabi yang diutuskan kepadanya sebagai Tuhan (Nabi Isa). Sedangkan, dalam Bible juga yang ade menyatakan bahawa Jesus (Nabi Isa) berkata "siapa yang taat pada Allah akan masuk Syurga, siapa yang menganggap Jesus sebagai tuhan akan masuk neraka.

4) Dalam Islam, Nabi Muhammad saw adalah Nabi terakhir. Tapi, di akhir zaman nanti Nabi Isa as akan turun. Kenapa tidak dikatakan Nabi Isa as yang terakhir?
Nabi Muhammad saw adalah nabi terakhir berdasarkan tahun kelahirannya. Perumpamaan : Jika anak bongsu meninggal dunia, sedangkan anak sulong masih hidup, hakikat yang tidak akan berubah ialah anak sulong tetap sulong.

5) Nabi Isa as disembah sebagai anak Tuhan kerana dianggap mulia sebab lahir tanpa bapa.
Kita jawab seperti ini, antara ibu dan anak, mana yang lagi mulia? Tentu ibu kan? Jadi, kenapa orang Kristian tidak sembah Mariam je? Kan Mariam ibu, tentu lagi mulia. Nabi Adam juga lahir tanpa bapa, malah tanpa ibu juga merupakan manusia pertama, kenapa tidak disembah Adam sahaja? Jawapan lengkap ada dalam Surah Imran, ayat 59.

6) Jika baca tafsir, Allah berfirman sekejap guna 'Aku', sekejap guna 'Kami' Kenapa?
'Kami' kan lambang 'Tuhan + Mariam + Anak Tuhan (Isa)' ?
Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, 'aku' kata jamaknya 'kami' yang menggambarkan tentang 'Allah dan keagunganNya' . Tengok sahaja Queen Elizebeth ketika bertitah, beliau guna 'We' bukan 'I'.

7) Orang Sikh Punjabi bertanya, kenapa Islam perlu potong rambut? Bukankah rambut itu anugerah tuhan yang perlu disimpan?
Kita jawab dengan soalan ini, kuku juga anugerah tuhan, kenapa orang Sikh Punjabi potong kuku?

8) Sami Budha vegetarian bertanya, kenapa Islam suruh bunuh binatang untuk dimakan? Kan zalim kerana bunuh hidupan bernyawa?
Sains telah buktikan, sayur dan pokok turut ade nyawa. Malah, apabila kita basuh tangan pun, ade banyak nyawa kuman yang kita bunuh. Itu tidak kejam? Bila kita bunuh (sembelih sebenarnya) 1 ekor lembu, sebenarnya kita telah selamatkan bayak nyawa manusia.

9) Sami Budha menjawab " Bunuh sayur dosa kecil sebab sayur kurang deria, bunuh binatang dosa besar"
Kita jawab seperti ini, habis tu, kita Cuma berdosa kecil je la jika bunuh orang yang pekak, buta, bisu hanya kerana dia tidak ade deria?

10) Sami Budha menjawab lagi "Jika kita bunuh sayur, sayur akan tumbuh balik"
Kita jawab lagi "habis tu, awak makan lah ekor cicak kerana ekor cicak akan tumbuh semula selepas putus"

11) Sami Budha berkata lagi "makan binatang akan dapat banyak penyakit"
Kita jawab "Penyakit datang kerana kita makan banyak. Bukan kerana makan binatang. Allah suruh makan secara sederhana. Lagipun, Allah dah beri gigi taring dan gigi kacip untuk manusia makan binatang dan sayuran.. Alah, tembakau dan dadah pun dari tumbuhan juga kan? Lagi besar penyakitnya kan? Lembu yang ragut rumput hari2 pun boleh jadi lembu gila. Sebenarnya, tak kesah pun kalau kita tak nak makan daging, tapi jangan lah cakap haram apa yang telah Allah halalkan untuk kita.

12) Kan babi itu ciptaan Allah, kenapa Islam tak makan babi?
Sebab bukan semua ciptaan Allah adalah untuk dimakan.

13) Islam cakap Hindu sembah berhala tetapi Islam hari2 sembah Kaabah.
Islam bukan sembah Kaabah, tapi Kaabah itu adalah Kiblat untuk satukan umat. Dalam Islam dah sebut, siapa sembah Kaabah akan masuk neraka kerana Islam Sembah Allah, kaabah Cuma kiblat. Perlu tahu bezakan. Bukti, orang yg sembah berhala tidak akan pijak berhala, tapi orang Islam pijak Kaabah untuk melaungkan azan. Orang Hindi tak akan pijak gambar berhala tapi orang Islam hari2 pijak gambar Kaabah (sejadah). Jika ada gambar Kaabah diletak di KLCC, orang Islam tetap solat menghadap Kaabah di Mekah kerana itu kiblat kita untuk sembah Allah... Bukan sembah Kaabah!

14) Kenapa perlu ikut nabi Muhammad saw kerana nabi dan rasul sebelum baginda kan betul2 juga?
Nabi sebelum Nabi Muhammad saw diutus untuk kaum dan zaman tertentu sahaja. Sedangkan Nabi Muhammad saw diutus untuk semua kaum dan sepanjang zaman.
Soalan2 yg nyatakan di atas, sebenarnya memang benar2 di tanya oleh orang bukan Islam secara spontan pada orang Islam... mereka bertanya bukan kerana hendak tahu, tapi kerana hendak membuatkan orang Islam yg ilmu hanya ala kadar berasa was2 dengan Islam dan akhirnya orang Islam akan berasa was2 dengan agama yang dianutinya. Jadi jawapan yg disampaikanpun tak perlu panjang2 cukup sekadar ringkas dan padat. Aku hanya menyampaikan sahaja. Segala kekurang dan salah silap harap diperbetul dan dimaafkan...



Wallahu'alam.