Saturday, August 8, 2009

Karya dari penjara...

SAYUNYA SUARA AZAN

Pagi, petang mencari rezeki… penat letih tak terkira… senja menyusul meniti waktu. Warga setawa mula kembali ke sarang dan alam pasrah menerima kehadiran malam. Kemerahan mega di kaki langit disambut dengan keriuhan kicauan tiung yang kelelahan tetapi riang setelah seharian mencari makan. Hening sejenak … Azan berkumandang bertingkah-tingkah dari qariah yang berhampiran menandakan matahari sudah terbenam. Maghrib, Masjid, Musolla adalah maujud dan isyarat yang sentiasa sinonim dengan saat itu. Di rumah Fahmi juga, laras kesyahduannya menerobus masuk melalui jendela.

Seakan tersapa oleh bicara si tiong tadi, mengumpat dan mengejek manusia yang masih bergelandangan. Nilai apakah yang masih tertinggal dari watak mereka itu, dalam waktu senja begini masih ada yang berlompatan di gelanggang takraw. Atau, apakah mereka telah kehilangan segan dengan Tuhan. Atau, sekurang-kurangnya, malu kepada si Ah Hock yang senja begini akan bersegera menutup gerai sayur dan bunganya untuk pulang ke rumah di kampung sebelah.

Walaupun begitu masih ada dari kalangan mereka yang masih ada beringat untuk mengagungkan Tuhan.

“Mari nak, Tuk pimpin agar jangan sampai tersepit tangan di muka pintu”Hati-hati dan akur anak kecil itu mengekori datuknya melangkah masuk menaiki tangga masjid yang sederhana besarnya. Ia tersenyum riang, lari sejenak dari keserabutan rumahnya. Sejenak pula bebas dari gangguan abangnya yang suka membulinya. Sementara kakaknya pula asyik memerap di bilik, bercinta-cintaan dengan telefon yang entah siapa dihubunginya saban hari. Fahmi, seorang budak berumur tujuh tahun yang sentiasa bosan untuk berada di rumah. Ayah dan ibunya pula masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Sebab itu ia lebih senang menemani datuknya ke masjid ini. Disinilah ia dapat merasakan semacam satu ketenangan, yang ia sendiri tidak memahaminya. Tetapi ia suka sekali. Ia sentiasa ternanti-nantikan senja. Azan maghrib dan masjid adalah kerinduannya saban waktu.

Sebelum itu… Acapkali diperhatikan oleh datuknya, Lebai Omar, akan watak“sunyi”cucunya yang seorang itu. Fahmi lebih gemar menyendiri. Di fikirnya benar-benar. Fahmi tidak seperti abang dan kakaknya yang dua orang itu. Mungkin, Fahmi sudah didorong nalurinya sedemikian oleh Allah, sedangkan rambutan setangkai tak sama bentuknya.. mungkin ia boleh terlibat juga membantu mewarnainya.

Tetapi bagaimana?…

Lantas suatu hari… “Fahmi, mari kita berjalan-jalan”…ajakan mesra daripada Lebai Omar . Dilihatnya Fahmi termanggu sebentar.”Tak mahu.. hari dah nak senja”.. Fahmi menjawab ringkas.Kelihatan oleh Lebai Omar, keadaan cucunya yang asyik memerhatikan kemerahan mega di dada langit itu. Ia terus mencuba untuk mencungkil punca sebenar cucunya bersikap sedemikian. Mungkin ia maklum bahawa waktu begini, di saat matahari jatuh, kanak-kanak ada yang keluh kesah menanti ketibaan malam yang gelap.” Kenapa dengan senja”, sambung Lebai Omar lagi. “Fahmi lebih senang melihat awan merah di kaki langit mendengarkan azan.” Sejuk hati seorang datuk, apabila mendengarkan jawapan tersebut. Rupanya azan dan senja yang menjadi satu perkara mainan Fahmi. Lantas teringat cerita orang tua-tua bahawa di waktu senja adalah masa pertukaran waktu yang agak ganjil dan kadangkala mewujudkan peristiwa yang agak aneh sekali. Tekadnya kerana senja inilah makna ia akan memperkenalkan satu suasana yang baru kepada cucunya, supaya ia keluar dari kesunyian dan kebosanan. Berhijrah ke dunia yang kudus dan tenteram.”Fahmi dengarkan sunguh-sungguh azan di hujung sana”. Lalu diterangkan lebih lanjut makna yang lahir dari laungan azan berkenaan. “Apakah yang Fahmi rasakan?” Soalnya kemudian.

“Selalunya Fahmi rasa sedih”. “Sedih!.. kenapa begitu. Bukankah azan itu indah sekali.Jika di tv ada azan, di radio ada azan.. di sana pun ada azan.”Lebai Omar pun mencelah.”Fahmi sedih apabila mendengarnya.Ia sayup dan jauh dan jauh sekali. Senja begini, ayah dan ibu masih dengan kerja.Malam nanti baru balik . . dah tu terus tidur. Abang dan kakak asyik dengan hal yang itu sahaja.Fahmi bertemankan suara azan yang kedengaran itu, meskipun Fahmi tidak mengeri apa-apa. Yang anehnya senja begini, suara azan itu diselang seli dengan keriuhan kicauan tiong yang pulang ke sarang. Kata cikgu, semua burung itu penat bekerja dan balik ke sarang berjumpa anak dan isterinya. Bercerita dan bercerita tentang peristiwa dan kehidupannya. Riang dan seronok … Fahmi pula…!

“Oh ayah dan ibu. Kenapa tinggalkan Fahmi bersendirian saban hari”. Tangis Fahmi sambil diperhatikan oleh datuknya.Lantas dipujuk datuknya dengan penuh hiba.

“Sabar Fahmi.. sabar”, hanya itulah kalimah yang terkeluar daripada mulut Lebai Omar. Sama sekali tidak diduganya bahawa cucunya sudah sekian parah menanggung penderitaan kekeliruan dan kesunyian. Azalina dan Johan, apa sebenarnya yang telah terjadi. Tidakkah kau berdua menyedari betapa beratnya tanggungan anakmu itu. Gerutunya dalam hati. Ya Allah …Ohh.. Begitu permulaan kisahnya. Ditinggalkan ibu dan bapa, Keremangan senja, kicauan burung, kesayupan suara azan, kebosanan yang terpendam kukuk dalam hati cucunya itu yang menyebabkan ia lebih terpendam.

Fahmi, kau terlalu kecil untuk memahaminya. Rupanya kau menderita kekosongan jiwa. Oh.. Tuhan Rabbul Jalil, rupanya anak sekecil ini juga sudah mengerti erti kehilangan dan kekeliruan senja. Lagi sekali ia seakan merasa kesal dengan sikap anak dan menantunya yang saban hari mengejar kebendaan,sehingga terlupa memerhatikan Fahmi, menjalani kehidupan di zaman kanak-kanaknya. Mungkin ia boleh berperanan. Bagaimana? Sayunya azan .. sayunya lantaran menyusupnya matahari melabuhkan diri di pelabuhan malam. Dikala ia selesai menunaikan solat maghrib pada senjanya, ia lantas berdoa agar diberikan taufik dan hidayah semoga dapat memulihkan sinar keceriaan di hati cucunya Fahmi.

Teringin ia memperkenalkan satu suasana yang baru kepada cucunya itu. Membawanya menyambut lafaz-lafaz azan yang berkumandang dan bermain di dalam taman kecantikannya, ketenangan. Suara hatinya seakan berkata… buatlah sesuatu yang boleh meriangkan hati, mengisi kekosongan jiwa tadi. Ia bukannya payah tetapi bukan juga mudah. Ia masih kanak-kanak .

Dunianya pula diisi dengan rona kehidupan moden dan mewah dan serba “tidak kisah” keluarganya. Mungkinkah……..mungkin juga ia boleh berperanan menerangkan perkenalan yang akrab dan bersusila sekali.

Menyambut riang kemerahan mega di dada langit. Mudahkan … suatu hari ia bertemu ibunya Fahmi,anaknya sendiri, Azalin, meminta izin untuk membawa cucunya ke masjid di hujung sana. Anaknya itu hanya membisu, membenarkan jauh sekali. Diam seakan ada batu yang tersekat di ruang tengkoraknya.

Lama ia menunggu jawapan dari anaknya. Ia terasa asing diperdiamkan begitu. Akhirnya, dikatakan cucunya itu masih kecil dan beberapa kalimah yang membosankan telinga tuanya. Tewas ia kali ini.

Perbincangan itu tinggal kosong. Ia terasa semacam disingkirkan oleh anaknya, seorang pegawai kerajaan yang berpangkat juga… berjaya juga. Terasa sekali ia akan ketinggian langit kehidupan telah mengubah kehendak dan fitrah naluri anaknya. Esoknya ia berbual dengan Johan menantunya pula, bapa si Fahmi. Bercerita secara orang tua dengan hajat yang besar seperti semalam senada dengan pertemuannya dengan Azalina anaknya .Menantunya Johan juga membisukan diri seribu bahasa. Terkunci mulutnya.

“Ohh… Azalina dan Johan sudah terlalu jauh berubah rupanya”, keluhnya menikam menusuk dalam kalbunya seperti duri yang mencengkam daging-daging sehingga tersiat dan terobek. Sebenarnya dunia ini yang sudah berubah. Melupakan azan dalam keadaaan bersendirian di alam nyata.Azan masih berkumandangan tetapi ia telah disepikan oleh manusia yang semakin kosong jiwanya.

Sebab itulah ia hanya tersahut oleh si tiong yang bergelandangan dan si pipit yang terbang rendah di permatangan desa sana. Di sini semua telah berubah. Di mana lagi……….Mengalahkan aku, bisik hatinya. Masakan perkara sebegini mudah, boleh menjadi ribut senja yang berpanjangan. Adakah ia orang yang terasing…Alasannya,adakah ia sudah terlalu tua untuk membelai Fahmi. Dipujuknya bersungguh-sungguh buat berkali-kali semahu-mahunya sehingga akhirnya menantunya dan anaknya menganggukkan kepala dengan

kerelaan melepaskan anaknya menurutinya, menyahut lembaran azan dihujung sana. Alhamdulillah…..

Semalam…….”Fahmi, petang nanti ikut atuk, kita ke tempat di mana azan dilaungkan. Kita sambut ia..kita dakap ia.. di rumahnya, di masjid”. Dengan muka berseri dan bersungguh sekali ia menghulurkan tangannya untuk di sambut Fahmi. Dalam kesyahduan waktu begitu, dirasakan kekosongan dan kemarau semalam akan digenangi limpahan air suci kemurniaan jiwa esoknya. Dan katanya, “Fahmi tak usah khuatir, Atuk ada dan Atuk dah cakapkan dengan ayah dan ibu. Mereka mengizinkan”.

Senja itu terbukalah minda hati cucunya. Bercahaya dilihat cucunya apabila mula, kali pertama mengikutinya ke tempat yang selalu didengarkan tetapi baru kali itu berpeluang menjejakinya sendiri. Rupanya kesayupan azan keheningan senja dan kemerahan meganya membawa seribu erti bagi mereka yang hendak memikirkannya. Begitu rupanya orang berazan. Sayunya.. indahnya. Dilihat orang beramai-ramai ke rumah Allah, memakmurkan dan memeriahkan suasana, segembira si tiong yang menerima kehadiran malam. Ia belajar menerimanya dengan menyambut azan, bersolat dan beriktikaf di masjid bersama-sama .. bergembira….Tenang sekali. Berbeza dengan keserabutan yang ia alami selama ini. Allahuakbar … Assalamualaikum…, disudahi, didengari bersumbat antara iman, datuknya dan kawan-kawannya yang lain. Riuh sekali..riang sekali.. sangat damai. Sayunya azan rupanya terselit ketenteraman, kesucian dan kekuatan untuk seorang anak kecil seperti Fahmi menuju rasa bertuhan…

Har
Penjara Miri, Sarawak

No comments: