Thursday, May 10, 2012

Forum di Kampung Sambah



Teringin pula berkongsi isi kandungan Forum Bicara Ad-Din semasa di PTK di Kampung Sambah khususnya dengan sahabat-sahabat yang tidak hadir.

Forum Bicara Ad-Din malam itu mengetengahkan topik ‘Peranan Manusia sebagai Khalifah di Muka Bumi’. 

Awal bicara pengerusi forum mengingatkan bahawa setiap makhluk ciptaan Allah ada peranannya masing-masing. Apakah peranan manusia? Adakah manusia diciptakan hanya untuk makan buah epal sahajakah? Adakah manusia ini diciptakan untuk makan ikan tiga rasa sahajakah? Adahkah manusia diciptakan untuk makan udang masak laksam sahajakah? Tidak. Jadi apakah peranan kita? Ustaz, terangkan kepada kami semua, apakah makna khalifah dan apakah tugasnya sebagai khalifah?

Ustaz Husni: .....Alhamdulillah. Tidak ada ucapan yang selayaknya kita lafazkan bahagian ucapan puji-pujian bagi Allah kerana malam ini walaupun saya kira bilangan kita tidaklah seramai ketika kami mungkin dari semenanjung khususnya di Selangor bila sampaikan kuliah. Saya boleh dikatakan hampir setiap malam menyampaikan pengajian, kelas agama di masjid-masjid dan surau sekitar Shah Alam jumlahnya begitu ramai nak dibandingkan dengan jumlah kita malam ini yang berada di kampung ini. Tapi walau pun tidak ramai saya kira satu suasana yang meriah. Wallahu a’lam, saya kira rombongan para sahabat  yang lain pun merasai perasaan ini. Meriah. Seronok. Gembira. Suasana ceria. Kampung yang saya kira, insya-Allah mudah-mudahan Allah akan turunkan rahmat dan keberkatan yang banyak di kampung ini, insya-Allah. Amin. Dengan datangnya tetamu-tetamu yang suka untuk kita sama-sama berukhuwah, bersaudara dengan gabungan tenaga daripada Persatuan Siswazah Sabah dan juga dengan kerjasama, ni power sikit, kumpulan KRU, Kelab Remaja Ukhuwwah. Bukan KRU yang op op op. Ini yang soleh solehah, yang beriman......

Berbalik kepada soalan yang dikemukakan oleh pengerusi tadi ‘apakah maksud Khalifah?’ Allah rakamkan istilah yang khusus kepada manusia iaitu khalifah dalam surah Al-Baqarah ayat 30. Allah SWT berfirman:
 
Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau berkata kepada Malaikat : Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi seorang khalifah. Berkata mereka : Apakah Engkau hendak menjadikan padanya orang yang merusak di dalam nya dan menumpahkan darah, padahal kami bertasbih dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau ? Dia berkata : Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. (Al-Baqarah:30)

Bilakah Allah firmankan ayat ini tuan-tuan, puan-paun sekalian? Bila tempoh masanya? Sebelum Allah menciptakan Nabi Adam.

Apakah pengertian khalifah? Menguruskan, mangambilalih tugas para nabi dan para rasul a.s. untuk mendirikan atau menegakkan agama di muka bumi. Itulah tugas khalifah.

Tugas kita besar. Kita lahir membawa misi dan visi yang besar. Kita lahir ini memikul tanggungjawab, amanah daripada siapa? Daripada Allah SWT.

Banyak makhluk yang Allah cipakan di Muka Bumi ini. Siapakah yang dipilih menjadi khalifah? Manusia.

Ahli panel turut menyelitkan kisah pemindahan singgahsana ratu Balqis pada zaman nabi Sulaiman yang membuktikan Allah menciptakan manusia dengan kehebatan tersendiri.

Berkata `Ifrit (yang cerdik) dari golongan jin: "Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgasana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercaya". ( Surah AN-Naml 39)
Akhirnya ada orang yang menyanggupi lebih cepat dari kemampuan jin (ifrit), orang itu bernama Ashif Ibnu Barkhiya, dia menyanggupi memindahkan istana sebelum Nabi sulaiman berkedip, dengan cara berdo'a kepada Allah, ini rujukannya

Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari Al Kitab: "Aku akan membawa singgasana itu kepadamu sebelum matamu berkedip". Maka tatkala Sulaiman melihat singgasana itu terletak di hadapannya, iapun berkata: "Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencoba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan ni`mat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia". (Surah AN-Naml: 40)

Soalan untuk panel kedua: Apakah syarat seseorang  jadi khalifah dan jadi hamba Allah?

Ustaz Fairus: ........Pertama sekali, kita perlu syukur kepada Allah dengan sebab Allah ta’ala perkenankan doa kita, Allah ta’ala perkenankan usaha kita, kita sampai di sini. Seperti mana yang dinyatakan oleh Ustaz Zul sudah tiga hari kita turun berdakwah. Kita turun untuk berjumpa dengan kawan-kawan seaqidah kita. Kita berkongsi ilmu. Kita ingin menjadikan mereka juga dikalangan kita yakni hamba-hamba yang pegangan mereka kuat dengan Islam. Kenapa kita memilih Sabah? Kenapa kita memilih tempat ini? Itu semua adalah rahsia jawapan daripada Allah SWT sahaja. Hakikatnya ialah bila mana kami di sini ini  Allah pertanggungjawabkan kepada kami orang yang belajar agama. Maka wajib bagi kami untuk turun kepada masyarakat untuk memeberikan penerangan tentang agama. Di antara kami tidak kepentingan sedikit pun. Tidak ada kepentingan bila mana kami datang sini, bila balik kami buat laporan dapat 2000 seorang. Tidak. Malahan puluhan ribu kita habis semata-mata untuk berjumpa dengan rakan-rakan seaqidah kita. Sebab Allah ta’ala sebut dalam al-Quran,

“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat..” (Al-Hujuraat: 10)

Inilah juga diantara peranan khalifah.

Seperti yang dinyatakan oleh Ustaz Husni tadi maksud khalifah ialah mendirikan agama Allah dan mentadbir dunia dengan agama Allah.

Soalan pengerusi tadi kepada kita ‘apakah syarat seseorang untuk menjadi khalifah?’ Syaratnya memang dah jadi syarat semua dah, dilantik dah jadi khalifah. Tak kira kecil atau besar, bila mana dia seorang manusia maka kita adalah khalifah. Cuma khalifah ini ada ciri-cirinya.

Ciri pertama: Mendirikan agama.

Manusia ni ikut macam mana pun dia kena dirikan agama. Ustaz, hanya orang Islam sahajakah ustaz? Tidak. Tanggung bebanan ini meliputi seluruh manusia. Sebab kata Nabi SAW setiap manusia yang dilahirkan dalam keadaan fitrah.

Hadis riwayat Abu Hurairah Radhiyallahu’anhu, ia berkata: Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam bersabda: “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang Majusi. Maksudnya setiap orang yang dilahirkan di dunia ini mula-mula dia Islam. Jika emak bapanya kristian, maka emak bapanyalah yang mencorakkannya menjadi kristian.”

Saya sebutkan tadi bukan hanya kepada orang Islam, semua manusia yang dihidupkan oleh Allah tugas dia yang pertama ialah mendirikan agama. Barangsiapa yang tidak mendirikan agama dia terseleweng dalam kehidupan dunia hari ini. Ulamak mengatakan kita kena ambil Islam sebagai cara hidup. Itulah tujuan penciptaan kita.

Dalam surah Ali imran ayat 85: (P/s: Ingatan untuk kita semua, Catitlah, tulis. Tulis dalam kepalalah)

“Barang siapa yang memilih agama selain Islam niscaya tidak akan diterima, diakhirat ia akan merasa rugi”. (Surah Ali Imran: 85)

Bila mana kita duduk dalam satu keluarga, sebagai bapa sebagai contoh. Maka kita kena dirikan Islam. Bila mana kita berada dalam satu kampong kita jadi JKKK sebagai contoh, kita jadi ketua kampong sebagai contoh, kita perlu dirikan Islam. Bila mana kita menjadi imam, bila mana kita memimpin masyarakat dan sebagainya kita kena mendirikan Islam. Juga kepada mereka yang bergelar ADUN, kepada mereka yang bergelar ahli parlimen, kepada mereka yang bergelar menteri-menteri, perdana menteri dan sebagainya ambil Islam sebagai caara hidup, tinggikan Islam. Jika ada dikalangan kita yang tidak bawa Islam maka dia seolah-olah bukan ciri-ciri khalifah.

Ciri Khalifah yang kedua: Mentadbir dunia dengan agama. 

Ini bagi mereka yang ada kuasa. Sebagai contoh kita jadi ketua dalam keluarga maka kita kena urusntadbir keluarga kita merujuk kepada agama. Kalau ada di antara kita yang mentadbir agama bukan dengan agama Allah, ia dikalangan orang yang rugi diakhirat kelak.

Manusia sanggup menerima khalifah ini, berbeza dengan tumbuh-tumbuhan, berbeza dengan haiwan, berbeza dengan batu-bata, bukit-bukau dan sebagainya.

Dalam keadaan yang demikian maka didiklah hati kita supaya kita belajar tentang islam dan kita boleh mengamalkan Islam. Islam ini adalah satu agama yang cukup hebat.

Bila sebut khalifah ia berkait-rapat dengan hamba. Apa maksud hamba? Adakah kita mengaku hamba kepada Allah atau tidak? Hamba ni kuli. Betul? Hamba ni kuli bukan orang besar pun. Tapi ada dikalangan manusia yang angkuh dengan Allah, Yang sanggup mencabar hukum-hakam Allah. Sedangkan kita hanya yakin memang kita ni hamba. Apa itu hamba? Hamba itu tunduk. Apa maksud tunduk? Tunduk dengan perintah Allah. Tapi ada dikalangan manusia yang sombong tak nak mendirikan Islam.

Marilah sama-sama kita kembali ke arah itu. Mudah-mudahan Allah ta’ala meredhakan kehidupan kita di dunia dan akhirat. Insya-Allah.

Sesi penggulungan: 

Panel pertama;

Kini kita berada pada peringkat ketiga perjalanan kehidupan iaitu dunia. Hidup di bumi ini hanya sementara.

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, "Umur umatku antara 60-70 tahun," (HR Tirmidzi)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Saw bersabda : “Dunia adalah ladang akhirat”.

Kata Nabi: Jadilah seperti orang yang gharib/pelik. Tempat asal kita syurga.

Kata Baginda: "Bagiku, berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar di bawah pohon kayu yang rendang, selepas berehat barang seketika menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan.."

Sangat rugi manusia yang rasa dia akan hidup selama-lamanya. Jika telah berada di alam barzakh, kita menangis darah sekali pun tidak akan dapat kembali ke dunia lagi. Kita dalam perjalanan menuju Allah.

Panel kedua;

Kesimpulan yang kita boleh buat, kita mesti sayang diri kita. Apabila Allah lantik kita jadi khalifah maka kita kena sayang diri kita, sayang ahli keluarga kita, sayang kampung kita, sayang negeri kita, sayang agama kita.

Rasulullah melaporkan dalam hadis yang bermaksud,

Barang siapa mengatakan: "Aku redha Allah sebagai Tuhanku, islam agamaku dan Muhammad Rasulku" wajib baginya masuk syurga (Abu Daud)

Apabila kita mati suatu hari nanti biarlah kita mati dalam keadaan mulia. Siapa-siapa yang mati dalam keadaan Islam, Allah akan masukkannya ke dalam syurga.

 

No comments: