Friday, November 16, 2012

Cerita di Sebalik Hijrah


Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Manusia mana yang tidak pernah berdosa. Tidak kira betapa kelam atau hitam masa silam, kita masih ada masa untuk jadikan hari ini dan masa depan lebih putih berserih tanpa noda dan dosa.

Jika semalam diari harian dan  bulanan terpalit warna hitam maksiat, pastikan hari ini bangkit bertahajjud merintih memohon keampunan daripada Ilahi. Jika dulu bergelumang dengan dosa terasa manis dan bahagia, berpatah baliklah. Jadikan dosa kini terasa pahit dan punca sengsara. Jika zaman jahiliah akal terasa kosong daripada ilmu dan panduan untuk membezakan antara baik dan salah, binalah langkah hari ini untuk lebih dekat dengan risalah wahyu iaitu Al-Quran dan hadis.

Moga warna hitam yang kita corakkan dulu kini mampu kita lunturkan dan padamkan secara bertahap. Biar merangkak, biar bertatih asalkan langkah menuju Ilahi sentiasa maju ke hadapan. Moga dengan itu, kita menjadi insan terpilih bahagia menikmati anugerah syurga abadi. Oleh itu, mari sama-sama hijrahkan diri!

Alhamdulillah, pada 15 November 2012 yang lalu, PSS dan KRU Tuaran berkesempatan mengadakan program Larian Hijrah yang bertempat di Masjid An-Nur,Tuaran. Program yang diadakan buat kali yang ke-2 ini membawa tema “Berlari Menggapai Mardhotillah”. Moga setiap kaki yang melangkah mendapat redha Allah SWT. Pengisian agak santai yang berkisar mengenai Peristiwa Hijrah memecah kesunyian 1 Muharam 1434 H pagi itu.  

Bercerita mengenai Hijrah membawa kita mengimbas kembali sirah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekkah ke Madinah.  Apabila isyarat untuk berhijrah sudah diberikan, lantas Nabi memberitahukan hal itu kepada  Abu Bakar As-Siddiq. Perancangan disusun dengan begitu teratur. Abdullah bin Uraiqat sebagai penunjuk jalan, Abdullah bin Abu Bakar akan menemani Nabidan Abu Bakar di Gua Hira’ pada waktu malam, Asma’ Binti Abu Bakar pula akan menghantar makanan, dan Ali Bin Abu Talib ditugaskan menggantikan tempat tidur Nabi pada malam Hijrahtersebut. 

Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin Quraisy yang diketuai oleh Abu Jahal dan Abu Lahab juga menyusun perancangan mereka. Keputusannya,  setiap pemuda daripada setiap puak akan melaksanakan misi penting ini. Mereka akan membunuh Nabi dengan cara satu tetakan pedang pemuda-pemuda dari setiap puak. Dengan itu,keturunan Abdul Manaf semestinya tidak sanggup untuk menuntut bela kepada semua puak yang terlibat itu.
Dengan kuasa Allah, Nabi Muhammad dan Abu Bakar dapat keluar dari rumah Baginda untuk berhijrah walaupun ketika itu rumahnya dikepung oleh pemuda-pemuda perkasa Quraisy. Nabi bersama Abu Bakar bergegas ke satu tempat yang bernama Gua Thur untuk melindungi diri buat beberapa hari di sana.

Bagi mengelirukan puak Quraisy, maka Nabi dan Abu Bakar telah menggunakan jalan tepi pantai untuk berhijrah dengan dipandu oleh Abdullah Bin Uraiqat seorang pemuda Yahudi. Nabi sampai di suatu tempat yang bernama Quba’ kira-kira 5 kilometer dari Madinah pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun 1 Hijrah. Ketibaan Nabi di Quba’ menandakan berakhirnya zaman Mekkah kerana Quba’ termasuk dalam kawasan Madinah. 

Bermula dari situlah sinar Islam mula memancar ke Kota Madinah dan seterusnya ke seluruh pelosok dunia. Baginda telah membawa kita dari zaman meraba-raba sehingga kini kita berada di zaman layar kaca dan serba mudah. Subhanallah, sungguh agung pengorbanan baginda dan para sahabat. Justeru, menjadi tanggungjawab kita sebagai mata rantai perjuangan baginda untuk menegakkan semula Islam di atas muka bumi ini amnya. 

 

 

No comments: