Friday, July 10, 2009
MAHKOTA UNTUK AYAH
“Ayah, maafkan Udin. Andai Udin tahu hasrat ayah. Andai Udin tahu impian ayah. Andai Udin tahu rahsia hati ayah. Udin takkan bantah cakap ayah. Udin akan mengaji Quran sungguh-sungguh dengan Ustaz Naim. Udin akan tunaikan impian ayah kala ayah masih disisi,” sayu kedengaran suara Ustaz Saifuddin.
Jiwanya dibentur gundah. Dia baru usai menghadiahkan bacaan Yassin buat ayah. Ustaz Saifuddin mengusap-usap lembut batu nisan. Seakan-akan dia membelai kepala ayah. Raut wajahnya terpampang rasa terkilan.
“ Udin buka kelas Al-Quran untuk orang-orang tua sekarang. Udin mengajar sepenuh masa di situ. Ramai pakcik-pakcik dan makcik-makcik datang mengaji. Seronok Udin tengok semangat mereka. Bersungguh-sungguh benar mereka mahu belajar Al-Quran. Kalau ayah ada…,”
Udin tidak dapat meneruskan bicara. Kerongkongnya terasa perit. Air yang bertakung di tubir mata sudah lama berjujuhan.
“Ayah, semalam Udin mimpi. Udin lihat ayah dipakaikan mahkota yang sinarnya terang benderang. Lebih bercahaya dari sinar matahari. Wajah ayah berseri-seri. Ayah pandang Udin. Ayah senyum. Tak pernah Udin tengok ayah senyum semanis itu. Kalau boleh, waktu itu Udin tidak mahu celikkan mata. Biarlah Udin terus pejam dan menikmati senyuman ayah. Adakah ayah sudah ampunkan Udin? Ayah, Udin rindukan ayah,” Ustaz Saifuddin menyeka air mata yang kian tidak terbendung.
*************************************************************************************
Wajah Udin berkerut menahan sakit. Rasa tidak puas hati menyembur-nyembur dari anak matanya. Dikerling betis yang kini berbalar. Kesan-kesan merah tampak jelas. Air mata ditahan. Tidak dibenarkan walaupun setitis gugur. Menangis ertinya lemah. Ayah tidak adil. Kenapa dia sahaja yang selalu kena marah. Kenapa dia sahaja yang selalu dirotan. Ayah memang tidak sayangkan dia. Ayah hanya sayangkan Kak Sarah.
Dia menjeling tajam ke arah Kak Sarah. Geram membuncah di hati melihat muka selamba Kak Sarah yang seolah-olah mengejek-ejeknya. Kak Sarah memang sengaja hendak kenakan dia. Kak Sarah memang gatal mulut. Kak Sarah tidak patut memaklumkan ayah tentang hal dia mandi di sungai hujung kampung sekaligus tidak menghadiri kelas agama. Kak Sarah memang menyibuk.
Muqaddam dan papan rehal di atas meja diregut kasar. Kakinya sengaja dihentak-hentak ketika berjalan. Berdetap-detup bunyi papan lantai dipijak.
“ Nanti!” Kak Sarah menahannya.
“Apa lagi!” sergah Udin. Mukanya merona merah.
“Tak mahu pakai kopiahkah?” Kak Sarah berlembut. Cuba menyiram api kemarahan adiknya.
Cepat-cepat Udin merabut kopiah lusuh di tangan Kak Sarah. Ternyata Kak Sarah gagal menyejukkan hati Udin. Udin lemas selalu dileteri ayah. Ayah selalu membanding-bandingkan dirinya dengan Kak Sarah. Ayah selalu memuji-muji Kak Sarah. Memang dia tidak nafikan Kak Sarah punya banyak kelebihan berbanding dirinya. Darjah tiga Kak Sarah sudah khatam Al-Quran. Setiap tahun Kak Sarah naik ke pentas menerima anugerah pelajar cemerlang.
Dengan keputusan yang memberangsangkan dalam UPSR Kak Sarah dapat melanjutkan pelajar di sebuah sekolah menengah sains. Memang Kak Sarah menjadi kebanggaan ayah dan emak. Sebaliknya, Udin masih membaca Muqaddam walaupun kini sudah berusia sepuluh tahun. Namanya kerap juga dipanggil waktu perhimpunan kerana tidak siap tugasan yang diberi oleh guru ataupun ponteng kelas.
Dia lebih suka menghabiskan sepanjang petang memancing ikan atau mandi sungai di hujung kampungnya daripada menghadiri kelas agama. Kadang-kadang dia berbasikal hingga ke kampung seberang semata-mata mahu bermain bola sepak. Pada malam hari, budak-budak lain terkocoh-kocoh pergi mengaji di rumah Ustaz Naim, Udin bersama-sama dua tiga rakannya yang lain seronok berlumba basikal di atas ban.
Ayah rungsing memikirkan tentang anak jantannya yang seorang ini. Degilnya bukan sedikit. Puas Udin dirotan dan dihukum oleh ayah. Pernah ayah mengikat Udin pada batang pokok rambutan di belakang rumah kerana ponteng kelas mengaji. Habis badan Udin merah-merah digigit kerengga. Pernah juga Udin dikurung di luar rumah kerana pulang dari bermain lewat petang. Namun, insafnya hanya bertahan beberapa hari sahaja. Kemudian Udin kembali dengan sikap bebalnya.
Lantaran itu, Udin acapkali dimarahi dan dileteri ayah. Tiada hari yang dilalui Udin tanpa bebelan dan jalur-jalur merah pada tubuh kecilnya. Mujur ada emak. Emaknyalah yang selalu mempertahankannya apabila dia dimarahi ayah. Ketika ayah mengangkat rotan, Udin cepat-cepat berlindung di belakang emaknya.
“ Esok kita akan bertolak selepas subuh. Pakaian dan barang-barang keperluan dah siap dikemas Udin?” suara garau ayah mengejutkan Udin. Lamunannya terganggu. Raut wajah ayu Fatimah, anak Haji Hussain yang bermain-main dalam anak matanya sebentar tadi pecah berkecai.
“ Sudah ayah,” Udin gugup. Matanya disapa sayu.
Esok Udin akan berpisah dengan Fatimah. Udin akan dihantar melanjutkan pelajar di sebuah pondok di Kelantan. Keputusan UPSR yang corot menyebabkan dia tidak berjaya menempatkan diri di mana-mana sekolah menengah berasrama penuh mahupun sekolah menengah sains. Ayah mengambil keputusan menghantar Udin mendalami ilmu agama. Itu memang impian ayahnya selama ini. Ayah tidak mahu Udin bergaul lagi dengan rakan-rakan yang biadap tingkahnya.
Pada mulanya Udin berasa tertekan amat. Udin terkongkong dengan pelbagai peraturan dan pantang larang sepanjang berada di pondok. Kebebasan bermain dan merayau-rayau bersama rakan-rakan yang pernah dinikmati suatu masa dulu tidak dapat dilaksanakan lagi kini. Setiap hari, Udin perlu menghadap Al-Quran. Bukan sekadar membaca, menghafal malah! Udin juga perlu mengulit pelbagai kitab-kitab tebal seperti Fathul Muin, Riyadhus Salihin dan Ihya Ulumuddin.
Segala kerja rumah harian seperti membasuh, melipat dan menyeterika baju terpaksa dilakukan sendiri. Udin agak ketinggalan berbanding sahabat-sahabat lain kerana Udin masih merangkak-rangkak membaca Al-Quran. Lantaran itu, dia tidak dapat menghantar banyak hafalan baru sewaktu tasmi dengan ustaz. Penguasaan bahasa arabnya juga lemah.
Pernah disuarakan pada ayahnya untuk berhenti belajar di pondok dan menyambung saja pengajian di sekolah menengah biasa. Namun ayah tidak ambil pusing. Mahu tidak mahu, Udin cuba menyesuaikan diri. Dia cium tangan, pipi dan dahi panas ayah seperti biasa pagi Jumaat itu sebelum bertolak pulang ke pondok selepas menghabiskan cuti beberapa hari di rumah.
Ketika usai solat asar petang hari yang sama, mudir madrasah, Ustaz Syukri tergesa-gesa berjumpanya. Dia terjelepuk longlai mendengar berita pemergian ayah. Petang itu juga dia pulang semula ke kampung halamannya. Bagai mimpi. Sabtu keesokan hari Udin mencium pipi dan dahi sejuk ayah yang tidak lagi bernyawa.
Kata emak ayah meninggal ketika menanti waktu asar menjelang. Tiba-tiba sahaja jantungnya gagal berfungsi.Wajahnya masih dibasahi titisan air wudhuk kala malaikat maut bertandang. Udin harapan ayah. Udin sandaran ayah. Suatu hari nanti, apabila Udin sudah pandai mengaji dan mahir ilmu Al-Quran ,ayah mahu belajar dengan Udin. Ayah tidak tahu baca Quran. Ibu hendak ajarkan dia tidak mahu. Ayah hendak Udin yang ajarkan dia.
Setiap hari dia panjatkan doa agar Allah lembutkan hati Udin dan mudahkan Udin belajar Quran. Ayah malu untuk berguru dengan Ustaz Naim. Katanya sudah senja sangat untuk berguru lagi. Bicara ibu beberapa hari selepas ayah dikebumikan bersimpongang di indera dengar Udin. Tiada air mata yang tumpah kala itu. Bukan Udin tidak sedih. Bukan Udin tidak tersentuh. Cuma segala-galanya berlaku tanpa diduga.
“Orang yang membaca Al-Quran sedangkan dia mahir melakukannya, kelak mendapat tempat di dalam Syurga bersama-sama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik. Sedangkan orang yang membaca Al-Quran,tetapi dia tidak mahir, membacanya tertegun-tegun dan nampak agak berat lidahnya yakni dia belum lancar, dia akan mendapat dua pahala. Hadis ini diriwayat oleh Bukhari dan Abul Husain Muslim bin Al-Hujjaj bin Muslim Al-Qusyaiy An-Nisabury dalam dua kitab Shahih mereka,” Ustaz Syukri menyejukkan hati Udin tika Udin mengadu kesukarannya membaca Al-Quran apatah lagi menghafalnya.
“ Ustaz, bagaimana mungkin saya lakukan untuk membantu ayah yang tidak mengenal huruf-huruf Quran jauh sekali membacanya?” udin melontar pertanyaan yang terbuku dalam hatinya. Ustaz Syukri mengelus-elus janggutnya yang kian memutih. Air mukanya tenang. Hati pasti akan damai memandang kejernihan wajahnya.
“ Udin ajarlah ayah. Di sini Udin belajar sungguh-sungguh ilmu Quran. Kemudian bila pulang ke kampung Udin kenalkan ayah dengan Kalamullah ini. Ingat, sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya. Orang tua ini selalunya ego. Dia segan nak pergi belajar dengan orang lain. Tentu dia malu. Mungkin dia akan lebih selesa jika yang mengajarnya itu darah dagingnya sendiri,” Ustaz Syukri menepuk-nepuk lembut belakang badan Udin.
“Tapi ayah Udin sudah tiada lagi...”Udin bersuara. Perlahan.Dia menekur hamparan hijau yangdijadikan alas duduk. Angin yang menyembung dari ruang tingkap bertiup kasar menampar-nampar tubuh Udin. Angin seperti mengutuk Udin kerana dosa-dosa lampau pada ayah. Sedih mengasak-ngasak sukma.
“Barangsiapa membaca Al-Qur’an dan mengamalkan isinya, Allah memakaikan pada kedua orang tuanya di hari kiamat suatu mahkota yang sinarnya lebih bagus dari pada sinar matahari di rumah-rumah di dunia. Maka bagaimana tanggapanmu terhadap orang yang mengamalkan ini,” Ustaz Syukri memetik kembali hadis riwayat Abu Dawud yang pernah dibaca sewaktu dalam kelas Al-Quran.
Ketika itu mereka sedang menekuni kitab At-Tibyaan fii Aadaabi Hamalatil Quran karangan Imam Nawawi. Udin tertegun. Udin menyeka air matanya. Wajah Ustaz Syukri direnung. Ada semangat menyelinap dalam lipatan hatinya. Biar dia masih bertatih membaca Kalam Allah. Biar dia tidak hebat seperti Kak Sarah dalam pelajaran. Biar sahabat-sahabat jauh meninggalkannya di belakang. Dia tidak akan putus asa.Dia akan mendalami bersungguh-sunggguh ilmu Quran dan mengamalkannya.
Dia mahu hadiahkan ayah mahkota itu. Dia mahu ayah miliki mahkota itu dan menghuni syurga Ilahi walau ayah tidak pernah menyelak lembaran Quran apatah lagi membacanya. Angin kembali berpuput mesra. Seolah-olah memujuk udin. Seolah-olah merestui impiannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment