Friday, July 24, 2009
PATTANI MENANGIS LAGI....
Sore datang lagi.
Kali ini lain daripada biasa. Kabut dukanya terlihat di mana-mana. Hatta di celahan pelupuk mata.
Tisu lembut yang tergenggam di celahan jejari kembali memainkan peranannya. Air jernih yang keluar,natijah dari bingkisan luka dalam hati terelus perlahan. Tiada daya untuk menangis lagi. Hati terus cuba dikuatkan “daripada Allah kita datang, kepada Allah kita pasti pulang” . Namun perkhabaran duka itu seringkali meraja, menjeruk rasa-mengapa begitu tragis episod pemergian seorang lelaki soleh sepertimu wahai kekandaku.
Sore datang lagi.
Kali ini lebih awal daripada biasa. Permulaan musim panas yang sedikit macet. Ripuhnya melekit. Ada saki baki keringat yang bertingkih di celahan rerambut halus. Aku mempercepatkan langkah, lebih pantas daripada biasa.
Menyusuri perjalanan dari kampus universiti di South Kensington untuk pulang ke rumah sewa di Upton Park, terasa tanpa semangat. Hilang 'jiwa'. Tube yang ditumpangi terus melaju sejak tadi. Semiring ripuhnya warga London yang baru pulang dari tempat kerja.
Fikiran masih terbayang-bayang parau suara abi menahan getar lewat panggilan yang lain daripada selalunya. Panggilan cemas membawa perkhabaran penuh kewalahan. Panggilan yang diterima sejurus solat subuh yang masuk dalam kiraan sangat awal, sekitar 3.42 pagi. Tatkala bumi colonial ini menikmati putaran musim panas dalam kalendar alamnya.
“Abang Long Wafi sudah tiada nak”. Dalam getar nadanya, perkhabaran abi seakan bergaung dalam hati.
Benarkah ini. Kekanda sulungku meninggal dunia kerana kecederaan parah ditembak di kepala. Lebih menyeksa hati, dia syahid sesudah bersujud, saat imam sedang membacakan ummul kitab pada rakaat kedua solat jemaah Isyaknya. Venuenya di Masjid Al Furqan.
Ya, benar. Aku tidak tersilap dengar, tidak juga abi yang terkhilaf bicara. Memang benar tragedi ngeri angkara ‘matangtan’ (manusia bersifat binatang, berjiwa syaitan) itu berlaku di dalam sebuah masjid. Lebih haru, masjid itu letaknya di kampung Air Tempayan, tempat aku dan 9 lagi saudaraku lahir dan dibesarkan.
Kenangan silam sewaktu kecil melintas di rumpit hujung mata. Aku ternampak-nampak kanak-kanak kecil berlari-lari di luar masjid Al Furqan. Mengelek beg kain berwarna warni berisi kitab suci Al Quran. Aku ternampak mereka berebut-rebut berwudhuk di paip tembaga tepi kolah besar. Hujung minggu kami, aku dan abang long Wafi serta kekanda-kekandaku yang lain selalu mengemas masjid, bergotong royong membersihkan masjid yang menjadi kebanggaan kami itu.
Di situlah kami setiap hari, berkumpul - menimba ilmu, meracik pengalaman,mereguk hikmah-dalam damainya suasana beragama. Masih ternampak indahnya anak-anak kecil bermain kejar-kejar sementara menunggu guru datang. Yang lelaki bersongkok berbaju Melayu, selalunya kami adik beradik lelaki akan berjubah, yang perempuan bertudung cantik. Kami belajar fardhu ain, belajar iqra’, mengaji muqaddam sehingga khatam Al Quran. Saat itu imam masjid,ustaz Wan Abdullah Wan Latif akan membacakan doa khatam Al Quran. Masih terbayang senyuman mesra penuh mahabbah lelaki sebaya abi yang juga sahabat baik abi itu.
“Baca betul-betul. Ulang semula baca”, ustaz Wan Abdullah mengetuk rotan ke lantai. Kecut perutku saat itu. Hingar bingar kanak-kanak lain melantunkan ayat-ayat suci Al Quran bersipongang dalam kepala.
Namun hari ini, masjid yang juga pernah menjadi madrasah - mengolah jiwa menjadi manusia - itu menjadi venue sebuah episode duka dan lara. Kisah tragis yang meragut nyawa 11 muslim yang tidak berdosa, yang waktu itu sedang menunaikan kewajipan, menyerah diri kepada Tuhan mereka, benar-benar menyentak jiwa.Antara mereka termasuk dua insan yang aku kasihi, kekanda sulungku, Nik Wafi Nik Rahman dan juga guru kesayanganku, Wan Abdullah Wan Latif.
Ya Allah, semoga perginya hamba-hamba-Mu ini disambut sebagai syahid di sisi-Mu. Semoga sujud terakhir mereka itu kau terima sebagai mahar syurga-Mu wahai Tuhanku.
Air mata seorang lelaki tumpah lagi. Aku sudah tidak berdaya menahannya.Kubiarkan ia merembes perlahan. Menuruni pipi. Menghujani sebak dalam hati.
Apakah dosa kami?
Kami hanya orang-orang kecil. Orang kecil yang tidak mampu membeli kelab bola sepak Manchester United atau Manchester City. Kami adalah orang kecil berkopiah putih, sebahagian daripada kami berserban, mengaji di sekolah-sekolah pondok berlantai buluh kasar. Kami hanya orang-orang Islam yang kebanyakannya menoreh getah untuk menyara kehidupan ini.
Apa dosa kami?
Adakah kerana membawa 'bin' di pertengahan nama, atau pun kerana nama kami yang berpangkal Muhammad.
Apakah kejahatan yang telah kami lakukan?
Sehingga ada insan yang tergamak membalas sedemikian rupa. Pedihnya menerima kenyataan 11 nyawa direnggut sekejam itu. Saat mereka tidak sempat melawan untuk mempertahankan jiwa. Saat jiwa mereka sedang kusyuk menghadap Allah Yang Maha Esa. Saat jiwa mereka diserah bulat-bulat kepada Sang Pencipta.
Apakah dosa mereka?
Apakah kerana mereka memegang status penduduk Islam di selatan Thai? Sebahagian bumi gajah putih yang kau dakwa milikmu. Kami ini adalah minoriti. Jumlah kami tidak setanding dengan bilanganmu. Jumlah kami, yang mengakui 'tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah' hanya sedikit sahaja. Namun kami juga sebahagian daripada sejarah bumi ini. Mengapa kau seolah cuba memadamkan kami dari peta sejarahmu?
Apakah yang ada dalam fikiranmu, wahai dua orang penyerang berpakaian serba hitam ala ninja dan berifel. Tatkala kau melepaskan tembakan bertalu-talu membabi buta. Ke arah sekumpulan Muslim yang sedang berjemaah menghadap Tuhan mereka.
Bangga?
Apakah yang ada dalam fikiranmu?
Saat lelaki-lelaki itu rebah ke lantai rumah Allah itu dengan berlumuran darah. Terkapar-kapar menunggu ajal , berpalit pedih dan rasa kurang percaya. Bahawa solat itu yang terakhir dalam hidup mereka, tanpa sempat mereka mengucap salam di penghujung solatnya.
Apakah bangga yang engkau rasa?
Saat engkau berhasil membunuh 11 nyawa yang tidak bersenjata. Bahkan mereka tidak berdosa. Sungguh kejam dan sadis dirimu. Memang layak engkau memegang gelar manusia bersifat binatang berjiwa syaitan.
Sekali lagi air mata menderu laju. Sudah dua jiwa yang aku sayangi terkorban dalam cara sebegini. Pedihnya rasa hati melihat mayat adikku yang membengkak di sana sini ketika Masjid Kerisik...............
Note :Ini adalah sedutan dari buku saya, diterbitkan oleh persatuan pelajar Muslim di UK dan akan dipasarkan secara 'underground' di Malaysia, jika ada permintaan, insya Allah.
more info :
http://bukansyadid.blogspot.com
emel: pelik_betul (yahoo)
Juga boleh klik:
http://www.smh.com.au/articles/2004/10/27/1098667842425.html
atau:
http://scottthong.wordpress.com/2008/05/13/the-wolves-of-pattani-southern-thailand/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment